China Gesa Penggunaan Sama Rata, Seragam Peraturan Antarabangsa

Duta China menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertindak memastikan peraturan antarabangsa digunakan secara sama rata dan seragam.

Gesaan itu dibuat Naib Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sun Lei ketika menyampaikan ucapan pada sesi taklimat oleh Presiden ICJ di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di New York pada Rabu.

Tahun ini menandakan genap 80 tahun ICJ memulakan operasi.

Sun berkata ICJ dan UNSC perlu mengukuhkan komunikasi dan kerjasama untuk bersama-sama mempertahankan orde pasca perang serta mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Beliau menzahirkan harapan agar ICJ terus melaksanakan tugas yang diamanahkan mengikut Piagam PBB serta Statut ICJ, memegang prinsip persetujuan negara, menggunakan kuasa kehakiman dengan berhemah serta mengekalkan pendirian objektif dan adil.

Sun turut menegaskan pendirian menolak sebarang amalan dwistandard atau penggunaan peraturan berkenaan secara terpilih.

China akan terus menyokong kerja-kerja UNSC dan ICJ, kata beliau sambil menambah bahawa negara Tembok Besar sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk memelihara keamanan dunia dan menjunjung kedaulatan undang-undang antarabangsa.