Raja Perlis Terima Menghadap Pesuruhjaya Tinggi India Ke Malaysia Yang Baharu

ARAU, 29 Okt — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia yang baharu Somnath Ghosh di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, di sini pada Selasa lepas.

Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan dalam sesi menghadap itu, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai peluang kerjasama baharu demi kemakmuran bersama dan India komited untuk terus meneroka potensi kolaborasi dalam sektor pendidikan dan ekonomi di Perlis.

“India sentiasa memandang tinggi karisma kepimpinan dan sumbangan institusi Diraja Perlis dalam memupuk keharmonian serta kemajuan,” menurut kenyataan itu.

Berangkat sama mengiringi baginda berdua dalam pertemuan itu ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Istana Arau memaklumkan hubungan dua hala antara India dengan Perlis bermula sejak lawatan negara rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong ketiga Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail ke India pada Disember 1961 dengan lawatan bersejarah baginda itu membawa impak amat besar kepada kedua-dua pihak.

“Sebagai lawatan negara pertama pascakemerdekaan, kunjungan itu berjaya membuka lembaran baharu yang meletakkan asas kukuh bagi hubungan diplomatik moden antara Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia) dengan India.

“Sambutan luar biasa oleh kepimpinan tertinggi India pada waktu itu mencerminkan penghormatan tinggi terhadap institusi beraja Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ghosh berkata kunjungan hormat bagi menghadap Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin erat antara India dengan negeri Perlis sejak lawatan negara rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong ketiga itu. 

Pesuruhjaya Tinggi India itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah atas kesudian baginda berdua berkenan menerima kunjungan hormat itu dengan hubungan akrab India dan Perlis diyakini akan terus berkembang subur demi kesejahteraan rakyatnya.