KUALA LUMPUR, 29 Okt — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggantung atau membatalkan lesen Kawalan Bekalan (CSA) sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang, jika didapati berlaku penyalahgunaan subsidi petrol BUDI MADANI.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan itu boleh diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya stesen minyak berkenaan melanggar syarat lesen, termasuk memanipulasi rekod transaksi dan menyalahgunakan subsidi kerajaan.
Pada masa ini, beliau berkata siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut melibatkan KPDN.
“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen CSA pemilik stesen itu di bawah Akta Kawalan Bekalan.
“Untuk membuka stesen minyak, selain lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), juga perlu mempunyai lesen CSA, lesen barang kawalan berjadual,” katanya pada Sidang Media Khas Sempena Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.
Armizan berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan subsidi BUDI MADANI memandangkan program itu membabitkan komitmen kewangan yang besar untuk membantu rakyat.
Selasa lepas, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI selepas mengesan transaksi mencurigakan yang disyaki melibatkan penyalahgunaan subsidi.
Menurut MoF, semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, melibatkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.














Tinggalkan Balasan