KUALA LUMPUR, 29 Okt — Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 dan ADMM-Plus ke-13 di Cebu, Filipina, memperkukuh komitmen negara bagi memperkasakan kerjasama pertahanan serantau serta memelihara Kepusatan ASEAN.
Sepanjang mesyuarat dan lawatan kerja bermula 27 Okt lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin secara konsisten membawa suara Malaysia yang mahukan ASEAN kekal bebas menentukan hala tujunya sendiri, tanpa terikat dengan persaingan mana-mana kuasa besar.
Pada mesyuarat utama ADMM, beliau menekankan keperluan mendesak untuk negara anggota membina keupayaan tindak balas bencana serantau yang lebih kukuh, berkoordinasi dan berkesan dalam mendepani ancaman bukan tradisional yang semakin kompleks.
Menjadikan tindak balas ASEAN terhadap gempa bumi di Myanmar pada tahun lepas sebagai contoh, beliau berkata mekanisme seperti ASEAN Military Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief (AMRG on HADR) perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesiapsiagaan operasi yang pantas.
“Ketika ADMM memasuki dekad ketiganya, kita perlu bersedia untuk melakukan lebih daripada sekadar menghadapi ancaman baharu dengan pendekatan lama. Keamanan dan kestabilan ASEAN tidak boleh diambil mudah,” katanya dalam mesyuarat itu.
Selain itu, pendirian Malaysia berhubung pemeliharaan perpaduan dan Kepusatan ASEAN turut dinyatakan sewaktu Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN-Jepun.
Dalam pertemuannya bersama dengan Setiausaha Perang AS Pete Hegseth, Mohamed Khaled menyambut baik komitmen AS dan menantikan Rangka Kerja Kerjasama Pertahanan AS-ASEAN pada 2027, namun menegaskan pendekatan Malaysia bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya menumpukan kepada keamanan serantau.
Sementara itu, dalam mesyuarat dengan Menteri Pertahanan Jepun Shinjiro Koizumi, beliau menggesa kerjasama yang lebih fleksibel dan bersepadu menerusi Kumpulan Kerja Pakar (EWG) ADMM-Plus bagi menangani ancaman siber, perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI).
Walaupun mengalu-alukan bantuan dan pemindahan teknologi dari Tokyo, Mohamed Khaled berkata matlamat utamanya adalah untuk memastikan ASEAN mampu berdikari tanpa mewujudkan kebergantungan jangka panjang terhadap bantuan luar.
Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama dengan rakan sejawat dari Vietnam serta Republik Filipina, iaitu Gilberto C. Teodoro Jr yang menyentuh isu keselamatan maritim dan pematuhan undang-undang antarabangsa
Pada pertemuan pertamanya dengan Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea, Kang Shin-Chul sejak pelantikannya September lepas, Mohamed Khaled membincangkan potensi kerjasama pembangunan industri pertahanan kedua-dua negara.
Dalam pada itu, komitmen Malaysia terhadap rakan anggota ASEAN turut dizahirkan kepada Menteri Pertahanan Nasional Laos Jeneral Khamlieng Outhakaisone, dengan jaminan untuk terus menyokong pembangunan kapasiti Angkatan Tentera Laos menerusi Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Laos atas kejayaan penyediaan dokumen Guide to ADMM and ADMM-Plus Practices and Protocols yang dipersetujui dalam mesyuarat kali ini.
Pada Selasa lepas, ketibaan Mohamed Khaled di Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu bagi menghadiri mesyuarat itu disambut oleh Timbalan Setiausaha bagi Sistem Maklumat dan Keselamatan Siber, Jabatan Pertahanan Negara Filipina Mej Jen (B) Fabian Mactal Pedregosa.
Turut menyertai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.












Tinggalkan Balasan