KESUMA Utamakan Rakyat Tempatan, Lindungi Semua Pekerja – Ramanan

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus mengutamakan rakyat tempatan dalam pasaran pekerjaan, selaras dengan langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 bagi pekerja yang tertakluk kepada pelaksanaan dasar itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata majikan diwajibkan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan menerusi portal MyFutureJobs sebelum memohon untuk menggaji pekerja asing, sekali gus menyokong usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh import.

Beliau berkata kenaikan gaji minimum itu dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan perolehan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan berkenaan.

“Bagi PMKS yang bawah hasil jualan RM50 juta, kita kena bagi mereka masa untuk sesuaikan diri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Ramanan berkata kerajaan akan melaksanakan kenaikan gaji secara berfasa bagi kelompok PMKS berkenaan dengan mengambil kira kemampuan perniagaan, di samping memastikan pekerja menerima ganjaran setimpal dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

Mengenai cadangan membezakan kadar gaji minimum antara pekerja tempatan dengan pekerja asing, beliau berkata perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh, khususnya membabitkan implikasi perundangan domestik dan konvensyen antarabangsa.

Pada masa sama, beliau menegaskan penggajian pekerja asing ketika ini kekal dihadkan kepada enam sektor utama serta subsektor yang dibenarkan dengan kriteria dan syarat kelulusan yang ketat.

Bagi sektor ekonomi gig, Ramanan berkata kaedah pengiraan pendapatan dan standard perlindungan bagi kumpulan pekerja berkenaan akan dimuktamadkan secara telus, saksama serta bermaruah menjelang awal 2027.

Beliau berkata formula kadar pendapatan minimum itu dirangka berasaskan kajian komprehensif melibatkan 13 sesi libat urus, 14 sesi perbincangan kumpulan berfokus, 37 temu bual mendalam terhadap 1,962 pekerja platform, penelitian ke atas 487,805 data transaksi perkhidmatan serta penandaarasan membabitkan 42 negara.

“Dapatan ini akan diterjemahkan ke dalam formula kadar pendapatan minimum mengambil kira penyelarasan pendapatan seperti inflasi, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW), gaji penengah, gaji minimum, pendapatan isi rumah serta kos operasi seperti insurans kenderaan, cukai jalan dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Berhubung kebajikan pekerja perkhidmatan e-hailing dan p-hailing, Ramanan memaklumkan kerajaan telah mewujudkan inisiatif sokongan kewangan khas berjumlah RM160 juta hasil kerjasama KESUMA bersama Kementerian Kewangan.

“RM160 juta ini, separuh akan ditanggung oleh kerajaan dan separuh akan ditanggung oleh syarikat platform sendiri, di mana buat masa ini kita jadikan Grab sebagai projek rintis,” katanya.

Mengenai potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pekerja gig yang berdaftar di bawah pelbagai platform, beliau berkata potongan tidak dibuat mengikut syarikat secara berasingan, sebaliknya diselaraskan di bawah satu akaun caruman bersepadu bagi mengelakkan bebanan potongan berganda ke atas pekerja.