PHNOM PENH, 3 Nov — Kedutaan Malaysia di Vientiane menayangkan filem aksi “Gayong” pada Jumaat lepas sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia dan Laos, sekali gus mengetengahkan peranan filem sebagai medium pertukaran budaya antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan kedutaan itu hari ini, tayangan khas filem berkenaan diadakan di Major Platinum Cineplex, Vientiane Centre, sebagai sebahagian daripada sambutan hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1966.
Duta Besar Malaysia ke Laos Norli Muadza Noor berkata filem merupakan medium yang sesuai untuk pertukaran budaya kerana membolehkan penonton mengenali kepelbagaian sejarah dan tradisi, selain merapatkan hubungan masyarakat yang berbeza bahasa serta budaya.
“Aktiviti kebudayaan membuka lebih banyak peluang kepada kita untuk berkongsi tradisi, memahami cara hidup masing-masing dan menjalin persahabatan antara rakyat Malaysia dengan Laos,” kata beliau dalam ucapan alu-aluan pada tayangan berkenaan.
Berlatarbelakangkan era 1940-an ketika Perang Dunia Kedua, filem Gayong diinspirasikan daripada kisah kehidupan dan legasi pengasas Silat Gayong, Datuk Meor Abdul Rahman, yang merupakan antara seni mempertahankan diri tradisional Melayu di Malaysia.
“Walaupun berbeza dari segi bahasa, tradisi dan sejarah, rakyat Malaysia dan Laos berkongsi nilai yang sama termasuk menghormati golongan lebih tua, mengutamakan hubungan kekeluargaan, semangat kemasyarakatan serta bangga terhadap warisan budaya,” kata beliau.
Malaysia dan Laos menjalin hubungan erat menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan dan pelancongan sepanjang enam dekad lalu.
Norli berkata kedua-dua negara juga terus meneroka peluang untuk memperkukuh hubungan antara rakyat menerusi diplomasi kebudayaan, selain kerjasama dalam bidang berkenaan.











Tinggalkan Balasan