Ancaman Periuk Api, Selat Hormuz Kekal Tidak Selamat – IMO

LONDON, 3 Nov — Setiausaha Agung Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Arsenio Dominguez pada Isnin enggan mengesahkan sama ada periuk api telah dibersihkan di Selat Hormuz, memberi amaran bahawa laluan itu kekal tidak selamat, lapor Xinhua.

Bercakap pada sesi soal jawab di ibu pejabat IMO di London, Dominguez mengulangi nasihat pertubuhan itu agar tidak melintasi selat berkenaan di tengah-tengah kenyataan bercanggah daripada Iran dan Amerika Syarikat (AS) berhubung ancaman periuk api.

Iran telah berulang kali mendakwa bahawa kapal telah terkena periuk api selepas memasuki laluan yang disifatkannya sebagai “tidak dibenarkan”.

Komando Pusat AS menafikan dakwaan itu dan berkata ia telah membersihkan periuk api di laluan perkapalan antarabangsa selat itu.

Menjawab soalan, Dominguez berkata beliau tidak menerima pengesahan bahawa skim pengasingan lalu lintas (TSS), yang menetapkan laluan perkapalan melalui selat itu, telah dibersihkan daripada periuk api.

“Tiada pengesahan bahawa tiada periuk api di rantau ini. Jadi saya tidak boleh menjamin bahawa ia selamat,” katanya. “Itulah sebabnya kami tidak mengesyorkan sesiapa pun untuk melalui Selat Hormuz.”

TSS yang diwujudkan IMO kini tidak beroperasi. Kapal yang masih transit di selat itu telah menggunakan laluan alternatif iaitu ke utara melalui perairan Iran di bawah kawalan Iran, atau ke selatan berhampiran pantai Oman dengan pengiring tentera laut AS.

Dominguez berkata IMO tidak menerima pakai pengaturan ini dan oleh itu tidak dapat menjamin laluan selamat.

Beliau menambah terdapat kapal terkena peluru yang tidak dikenal pasti. Siasatan sukar dilakukan ketika konflik, menjadikannya mustahil untuk menentukan sama ada beberapa insiden melibatkan periuk api, dron atau peluru berpandu.

IMO merekodkan kira-kira 30 serangan ke atas kapal di selat itu dan perairan sekitarnya pada Oktober, menjadikannya salah satu bulan dengan jumlah serangan tertinggi, kata Dominguez.

Beberapa insiden menyebabkan tumpahan minyak atau pencemaran lain.

Kira-kira 6,000 pelaut masih berada di atas kira-kira 350 hingga 400 kapal di rantau Teluk, katanya.

IMO menyelaraskan dengan negara serantau, Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa dan pihak berkepentingan lain untuk menyediakan bekalan, penjagaan perubatan, sokongan kesihatan mental dan bantuan dengan komunikasi keluarga, tambahnya.