Pemilihan PKR: Anwar Pertahan Jawatan, Nurul Izzah Menang Timbalan Presiden

JOHOR BAHRU, 23 Mei — Nurul Izzah Anwar melakar kemenangan besar pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menewaskan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2025-2028 yang menyaksikan perubahan ketara dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Nurul Izzah, 44, memperoleh 9,803 undi berbanding 3,866 yang diraih Rafizi sekali gus menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan nombor dua parti itu yang sebelum ini didominasi oleh pemimpin lelaki. 

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Kongres Nasional PKR 2024/2025 malam ini. 

Kongres itu turut menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan jawatan beliau sebagai Presiden selepas tiada individu menawarkan diri bertanding jawatan itu yang disandangnya sejak 2018.

Turut mempertahankan jawatan adalah tiga penyandang Naib Presiden iaitu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Selain itu, muka baharu juga dipilih membarisi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu Timbalan Ketua Penerangan 1 yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan yang berjaya menempatkan diri dalam persaingan jawatan Naib Presiden membabitkan 11 calon lain.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pula berjaya meraih undi tertinggi untuk mengungguli persaingan bagi jawatan MPP yang membabitkan 103 calon diikuti bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan kali ini menewaskan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Bekas Timbalan Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim, yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan, turut diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua AMK selepas tiada pencabar.

Beliau menggantikan Adam Adli yang bertanding jawatan MPP pada pemilihan kali ini.