China, Kyrgyzstan Ikrar Perkukuh Kerjasama Pelbagai Bidang

China bersedia bekerjasama dengan Kyrgyzstan untuk memperdalam penyelarasan strategi pembangunan dan saling menyokong secara teguh berkaitan isu yang melibatkan kepentingan dan keprihatinan masing-masing.

Demikian dinyatakan Presiden China Xi Jinping ketika bertemu dengan rakan sejawatnya dari Kyrgyzstan, Sadyr Japarov di Astana hari ini.

Xi berkata kedua-dua pihak perlu memperluas skala perdagangan dan pelaburan serta memperdalam kerjasama kewangan, di samping mendorong pembinaan rel China-Kyrgyzstan-Uzbekistan secara berkualiti tinggi.

Kedua-dua negara juga hendaklah meneroka kerjasama melibatkan sektor baharu seperti tenaga bersih, perlombongan hijau dan kecerdasan buatan (AI), selain memperkasa pertukaran dalam bidang kebudayaan, pelancongan, pendidikan dan kesihatan serta melaksanakan lebih banyak projek yang membawa manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Japarov berkata Kyrgyzstan amat menghargai perkongsian strategik yang dijalin dengan China berlandaskan prinsip saling hormat, sama rata dan saling untung serta kejiranan baik.

Kyrgyzstan mengalu-alukan lebih banyak syarikat China untuk melabur dan memulakan perniagaan di negara itu, serta bersedia bekerjasama dengan China dalam melaksanakan projek seperti pembinaan rel China-Kyrgyzstan-Uzbekistan, di samping memperkasa kerjasama dalam bidang tenaga, perlombongan hijau dan sebagainya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda