KUALA LUMPUR, 5 Nov — Sebanyak 3,681 pendaftaran francais direkodkan di seluruh negara menerusi sistem MyFEX 2.0 setakat 27 Okt lepas, dengan francaisor tempatan merangkumi 62.2 peratus daripada keseluruhan pendaftaran francaisor dan francaisor induk.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata daripada 489 pendaftaran francaisor dan francaisor induk, sebanyak 304 ialah francaisor tempatan, manakala baki 3,192 pendaftaran melibatkan francaisi.
Beliau berkata tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh kemampanan dan daya saing francais tempatan, termasuk keupayaan mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
“Jadi maksudnya keberadaan penyertaan francais tempatan itu sudah ada. Jadi kita perlu perkukuh lagi, yang paling penting adalah kemampanan mereka dan daya saing dalam pasaran, bukan hanya pasaran tempatan tetapi keupayaan untuk menerobos pasaran luar negara,” katanya pada sidang media selepas melancarkan produk terbaharu Tealive Sparkling Prebiotic Tea Soda di sini hari ini.
Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) akan terus mempergiat pembangunan kapasiti francais tempatan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan daya saing serta memperluas pasaran mereka.
Beliau berkata perkembangan pendaftaran francais yang positif dari tahun ke tahun turut disokong usaha kerajaan memperluas pasaran produk tempatan menerusi gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA), dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemain industri.
“Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan PERNAS SME & Francaisor Financing Scheme (PSFS) untuk membantu pembangunan perniagaan francais tempatan, meliputi pembiayaan modal permulaan dan modal kerja bagi pembukaan cawangan, pengubahsuaian premis, pembelian peralatan serta penyediaan stok awal, katanya.
Selain itu, sebanyak RM9 juta diperuntukkan bagi program Be Your Own Boss (BYOB) yang menyasarkan lebih ramai usahawan francais dalam kalangan wanita dan belia Bumiputera menerusi latihan berstruktur, padanan perniagaan, bantuan pembiayaan serta pemantauan selama enam bulan selepas memulakan perniagaan.
Dalam pada itu, Armizan berkata kejayaan Tealive yang kini mempunyai 800 cawangan di Malaysia dan 82 cawangan francais di sembilan negara setakat Oktober 2026 membuktikan keupayaan jenama tempatan untuk berkembang dan bersaing pada peringkat antarabangsa.
Pada majlis itu, Tealive turut memperkenalkan empat variasi minuman sedia diminum baharu berasaskan teh dan buah-buahan.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN Rohaizi Bohari, Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd Bryan Loo, Ketua Pegawai Operasinya Chee Leng Loo, Ketua Jabatan Pembiayaan Francais PERNAS Mohd Najib Hassan Besiri, serta Pengarah Kanan Peruncitan dan Penyewaan Pavilion Kuala Lumpur Lowell Ho.














Tinggalkan Balasan