WASHINGTON, 18 Julai — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijadualkan melawat Scotland minggu depan, menurut pengesahan pegawai di Washington pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Jurucakapnya, Karoline Leavitt berkata Trump dijangka berada di Turnberry dan Aberdeen dari 25 hingga 29 Julai.
“Sepanjang lawatan itu, Presiden Trump akan sekali lagi bertemu dengan Perdana Menteri [Keir] Starmer bagi memperhalusi perjanjian perdagangan hebat yang telah dimeterai antara AS dan United Kingdom (UK),” kata Leavitt.
Perjanjian dengan UK itu merupakan yang pertama dimeterai dengan rakan dagang utama selepas Trump mengenakan tarif secara meluas pada awal April, dan kekal sebagai bilangan perjanjian yang terhad sehingga kini.
Leavitt turut mengesahkan lawatan Trump ke UK dari 17 hingga 19 Sept seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
Isterinya, Melania akan turut serta dalam “lawatan negara kedua yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” tambahnya.
Presiden AS itu “berasa amat berbesar hati dan tidak sabar untuk bertemu dengan Raja di Istana Windsor,” kata Leavitt.
Semasa lawatan ke Rumah Putih pada akhir Februari, Starmer telah menyampaikan jemputan daripada Raja Charles III kepada Trump untuk mengadakan lawatan negara.
Trump merupakan peminat keluarga diraja Britain dan pernah mengadakan lawatan negara ke UK semasa penggal pertamanya pada 2019. Ketika itu, atur cara lawatan termasuk majlis santapan negara di Istana Buckingham bersama Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 2022.
Tinggalkan Balasan