KUALA LUMPUR, 14 Sept — Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama dalam membangunkan projek perintis bandar pintar dengan merancang menubuhkan pusat kawalan bandar pintar di bandar tahap dua di negara ini seperti Ipoh dan Seberang Perai.
Inisiatif itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar China Ni Hong bersempena dengan Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan 2025 di Guilin, China.
Nga dalam satu kenyataan berkata projek berkenaan akan menjadi medan untuk menguji teknologi pintar, reka bentuk cekap tenaga dan model perumahan berpusatkan komuniti.
“Menerusi kerjasama dengan China, kita dapat memupuk pembelajaran bersama serta menyesuaikan penyelesaian yang telah terbukti mengikut konteks tempatan.
“Bermula daripada integrasi rumah pintar dan infrastruktur digital sehinggalah pengurusan perumahan berasaskan AI, perkhidmatan bandar berpandukan data serta model perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Malaysia juga akan menimba pengalaman daripada platform bandar maju China seperti City Brain di Hangzhou dan Smart City Data Platform di Shenzhen untuk mewujudkan projek perintis bandar pintar.
Projek perintis berkenaan meliputi pelaksanaan infrastruktur pintar seperti sistem cekap tenaga, automasi rumah, permeteran pintar dan pengurusan bangunan berasaskan Internet benda (IoT); serta keterhubungan digital untuk penduduk, termasuk aplikasi bersepadu bagi tempahan kemudahan, keselamatan, penyelenggaraan dan penglibatan komuniti.
Ia termasuk juga ciri-ciri hijau seperti tenaga solar, sistem pengasingan sisa dan teknologi penjimatan air; selain inovasi sosial dalam reka bentuk perumahan dengan elemen mesra warga emas dan berpusatkan keluarga turut diterapkan.
Pada mesyuarat itu, Nga turut mengundang China menyertai Persidangan Hartanah ASEAN+3 (AREC) 2026 yang buat kali pertama akan turut menyaksikan Korea Selatan dan Jepun selaku rakan strategik.
Persidangan itu akan berlangsung empat hari bermula 29 Julai 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Beliau turut mencadangkan program pertukaran latihan antara pegawai kerajaan Malaysia dan China bagi meningkatkan kemahiran dalam perancangan bandar serta dasar awam.
Nga yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat turut mengalu-alukan peranan lebih aktif China dalam memajukan agenda pembangunan bandar global.
Beliau menggesa China menyokong pengintegrasian Agenda Perbandaran Baharu ke dalam Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang akan dilancarkan pada Fourth Ministerial Meeting on Urbanisation and Climate Change (MM4)pada 11 Nov 2025 bersempena dengan Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) di Belem, Brazil.
“Cabaran urbanisasi tidak lagi terbatas. Mengangkat Agenda Perbandaran Baharu memerlukan pendekatan global sebenar, negara-negara bekerjasama mengintegrasikan kemampanan dan keterangkuman dalam pembangunan bandar,” katanya.
Nga berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan China dan masyarakat antarabangsa untuk memastikan tiada pihak atau kawasan yang terpinggir dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Agenda 2030.
Tinggalkan Balasan