PUTRAJAYA, 1 Okt — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperluas sokongan terhadap inovasi aplikasi kesihatan mental “Helpie” yang dibangunkan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) selepas kejayaan sekolah itu memenangi anugerah World’s Best School Prizes 2025.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian akan meneliti tiga aspek utama iaitu potensi pengembangan aplikasi itu ke seluruh sekolah, sokongan berterusan kepada guru besar serta guru-guru, selain memastikan sekolah berkenaan menjadi rujukan kepada institusi lain.
“Pertama dari segi aplikasi itu sendiri, bagaimana kemampuannya dapat dikembangkan. Kedua, untuk terus memberikan sokongan kepada guru besar dan guru-guru menghasilkan inovasi yang lebih baik.
“Ketiga, kita akan melihat bagaimana sekolah ini terus dihargai serta diangkat sebagai sekolah contoh yang peranannya dan inovasinya boleh dikongsi dengan sekolah-sekolah lain,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) diumumkan sebagai pemenang Hadiah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh T4 Education, sekali gus meletakkan Malaysia sekali lagi di peringkat pendidikan global.
Pengumuman itu dibuat menerusi siaran langsung pada Selasa, yang turut disaksikan di perhimpunan khas anjuran bersama kementerian dan Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Fadhlina berkata kejayaan itu menjadi penanda aras baharu pendidikan negara, dan pengalaman warga SK Putrajaya Presint 11(1) tidak seharusnya terhenti di sekolah itu sahaja.
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diasaskan T4 Education merupakan pengiktirafan pendidikan paling berprestij di peringkat antarabangsa, mengiktiraf institusi yang memberi inspirasi kepada perubahan positif melalui inovasi yang boleh dicontohi sekolah lain di seluruh dunia.
“Kementerian akan pastikan sokongan ini diberikan secara berterusan supaya pengalaman mereka digerakkan dan dikongsikan dengan sekolah-sekolah lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan keberkesanan aplikasi Helpie dalam membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan sokongan emosi serta psikososial pelajar sudah terbukti di peringkat sekolah dan kini wajar dipertimbang untuk dimanfaatkan lebih meluas di bawah KPM.
Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan rasa syukur atas kemenangan bersejarah itu yang julung kali menyaksikan sekolah Malaysia dinobatkan sebagai juara dunia.
“Alhamdulillah akhirnya keputusan pada hari ini telah diketahui. Malaysia bukan sahaja berjaya berada dalam kelompok 10 sekolah terbaik sebelum ini, tetapi buat pertama kalinya muncul juara.
“Kemenangan ini menonjolkan peranan sekolah, guru besar, guru-guru, para pelajar serta ibu bapa yang konsisten memastikan potensi anak-anak dapat digilap melalui aplikasi Helpie,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada rakan sinergi, Yayasan Hasanah yang banyak menyokong usaha tersebut.
Guru Penyelaras dan Ketua Projek Helpie, Mohd Saharudin Setapa, berkata aplikasi itu dibangunkan sejak 2023 dengan penambahbaikan fungsi dari semasa ke semasa bagi menepati keperluan semasa.
“Melalui maklum balas yang diterima, aplikasi ini memberi kesan positif apabila murid lebih yakin dan berani berkongsi masalah. Ia membantu mengurangkan tekanan mental serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga emosi,” katanya.
Beliau menambah, pasukan Helpie terus berkembang dengan penglibatan bekas pelajar yang kini berada di sekolah menengah, membuktikan kesinambungan kerjasama dan semangat inovasi berterusan.
Muhammad Muhriz Marzuki, 14, pelajar yang menjadi ketua projek pertama membangunkan aplikasi Helpie pada 2023, turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian berkenaan.
“Saya rasa sangat bangga kerana kami bekerja keras untuk ini. Ia hasil usaha cikgu dan rakan-rakan yang sentiasa berkorban masa dan tenaga,” katanya.
Fadhlina menegaskan kejayaan itu bukti pendidikan negara mampu melahirkan inovasi bertaraf dunia dan berharap pencapaian tersebut akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak sekolah mencontohi SK Putrajaya Presint 11(1).
“Pendidikan kita telah berjaya ke peringkat dunia, menjadi terunggul, dan Insya-Allah banyak lagi kejayaan akan menyusul,” katanya.
Tinggalkan Balasan