KOTA BHARU, 18 April — Projek pemanjangan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, yang sedang dijalankan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2027, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau memaklumkan operasi penerbangan antarabangsa bagaimanapun tidak perlu menunggu hingga landasan itu siap memandangkan landasan sedia ada sepanjang 2,400 meter sudah mencukupi untuk penerbangan ke negara ASEAN seperti Indonesia dan Thailand yang memakan masa dua hingga tiga jam.
“Bagaimanapun, apabila landasan ini dipanjangkan kelak, ia akan lebih menarik minat syarikat penerbangan kerana pesawat akan mempunyai jarak berlepas yang mencukupi sekiranya perlu membawa bebanan bahan api lebih berat.
“Ini bagi membolehkan penerbangan jarak jauh sekitar lima hingga enam jam, contohnya ke China atau Korea Selatan pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas perasmian terminal baharu LTSIP di sini hari ini.
Loke berkata kementeriannya juga akan terus mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan tempatan seperti Malaysia Airlines, Batik Air, dan AirAsia untuk menambah kekerapan penerbangan, di samping mengalu-alukan kemasukan syarikat penerbangan antarabangsa ke LTSIP.
“Apabila kesalinghubungan menjadi lebih baik, ia secara langsung akan menarik lebih ramai pengunjung ke Kelantan dan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata LTSIP juga menerima permintaan tinggi terhadap perjalanan domestik, khususnya bagi laluan strategik Kota Bharu – Kuala Lumpur, yang merupakan antara laluan penerbangan paling sibuk di negara ini.
“Pada masa ini, beberapa syarikat penerbangan utama iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Firefly dan Batik Air Malaysia menyediakan perkhidmatan ke Kota Bharu dengan jumlah keseluruhan 125 penerbangan seminggu merangkumi enam destinasi utama, iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching, Pulau Pinang dan Subang,” katanya.
Beliau berkata perkembangan itu secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan trafik penumpang yang konsisten sepanjang tahun.
















Tinggalkan Balasan