SHAH ALAM, 18 April — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersedia meneliti cadangan mengembalikan status bebas cukai kepada Langkawi bagi merancakkan semula ekonomi di pulau itu.
Beliau turut memuji respons positif Perdana Menteri kepada isu yang dibangkitkan susulan titah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Istiadat Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah pada 13 April lepas.
Muhammad Sanusi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan di Ideal Convention Centre di sini hari ini.
Semalam, Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Sallehuddin atas cadangan itu yang disifatkannya sebagai wajar diberi perhatian memandangkan keadaan sektor pelancongan di Langkawi agak suram sejak kebelakangan ini.
Menjelas lanjut, Muhammad Sanusi berkata kemerosotan itu berpunca daripada kekurangan keunikan produk bebas cukai yang sebelum ini menjadi daya tarikan utama pelancong ke pulau berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata Kerajaan Negeri Kedah tetap menyasarkan jumlah pelancong ke Langkawi meningkat kepada empat juta orang tahun ini berbanding dua juta pada 2025.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata beliau mengalu-alukan kehadiran mana-mana individu termasuk bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk bertanding sebagai wakil rakyat di Kedah.
“Siapa-siapa pun boleh datang di Kedah bertanding… ini negara demokrasi… saya alu-alukan sesiapa nak bertanding di Kedah untuk mencuba nasib,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah Mohd Safwan Jaafar berkata Barisan Nasional negeri berkenaan memerlukan figura seperti Khairy untuk memacu semula kebangkitan parti dan gabungan itu dalam politik.
Beliau berkata ideologi dan pemikiran Khairy berupaya merangsang perubahan dalam cara rakyat Kedah berfikir.

















Tinggalkan Balasan