Saya Kembali Kepada UMNO Tanpa Tuntutan – Khairy

KUALA LUMPUR, 18 April — Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan beliau kembali ke parti itu bukan dengan sebarang tuntutan, sebaliknya tekad untuk berkhidmat serta menyumbang sebaik mungkin demi memperkukuh parti.

Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan dan akar umbi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Semoga keputusan ini menjadi titik permulaan baharu untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan beliau itu susulan keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi yang menerima semula lebih 6,000 ahli termasuk beberapa bekas pemimpin kanan parti, antaranya bekas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy dan bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.

Pada 2023, UMNO memecat Khairy dan Ahli Majlis Tertingginya, Tan Sri Noh Omar manakala beberapa pemimpin lain termasuk Hishammuddin, digantung keahlian selama enam tahun.

Bagaimanapun, pada Mac lepas, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu susulan pengumuman Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang “membuka pintu seluas-luasnya” kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian.

Khairy berkata beliau mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahmad Zahid atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam menerima kembali permohonannya sebagai ahli parti.

Ucapan terima kasih juga beliau ditujukan kepada seluruh Ahli MT UMNO yang telah membuat keputusan itu dengan penuh hikmah dan keinsafan terhadap masa depan perjuangan parti.

“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran, serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya.

“Tempoh di luar parti telah memberi saya ruang untuk muhasabah dan memperbaiki kelemahan diri,” katanya.