Perdana Menteri Australia Tiba Di Malaysia Untuk Hadiri Sidang Kemuncak Asia Timur

SUBANG, 26 Okt — Perdana Menteri Australia Anthony Albanese tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang dijadualkan berlangsung esok, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Pesawat khas yang membawa Albanese dan delegasinya mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada 3 petang dan disambut oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Nafis Norshid.

Semasa lawatan beliau, Albanese dijadualkan turut menghadiri Sidang Kemuncak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 pada Isnin dan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5 pada Selasa.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara anggota ASEAN termasuk 30 pemimpin dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan, untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama sambil menangani cabaran serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

Pemimpin dan wakil daripada badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut hadir untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi.