Pertemuan Xi, Trump Bawa Isyarat Positif kepada Dunia

Pertemuan ketua negara China dan Amerika Syarikat (AS) menjadi perhatian dunia apabila Presiden Xi Jinping dan Presiden Donald Trump senada untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan tenaga serta merancakkan pertukaran sosiobudaya.

Sepanjang pertemuan di Busan, Korea Selatan pada Khamis, Xi menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Trump untuk memperkukuh asas hubungan dua hala dan mencipta persekitaran kondusif kepada pembangunan masing-masing.

Trump menyifatkan China sebagai rakan kongsi terbesar AS dan dua negara itu boleh melakar lebih banyak pencapaian di persada dunia menerusi kolaborasi.

Menurut analisis, pertemuan berkenaan memberikan isyarat yang jelas bahawa China dan AS ingin memantapkan hubungan bilateral, sekali gus memulihkan keyakinan dunia.

Hanya beberapa jam selepas pertemuan tersebut, Kementerian Perdagangan China mengumumkan aturan bersama dalam rundingan ekonomi dan perdagangan China-AS di Kuala Lumpur. 

AS akan membatalkan tarif berkaitan fentanyl sebanyak 10 peratus dan meneruskan penangguhan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap produk China selama setahun.

Kementerian Perdagangan turut memaklumkan bahawa China akan membuat penyesuaian wajar mengenai langkah balas terhadap tarif AS.

Penganalisis berpendapat, kemajuan tersebut memperlihatkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam melaksanakan konsensus penting yang dicapai sebelum ini serta trend positif dalam menjaga kestabilan hubungan dagangan.

Beijing dan Washington boleh menjadi rakan kongsi dan sahabat. Perkara ini adalah inspirasi daripada sejarah dan juga merupakan tuntutan realiti.

Pertemuan pemimpin China-AS kali ini menetapkan hala tuju untuk membaiki dan mengembangkan hubungan dua hala. 

Selagi melaksanakan sepenuhnya konsensus yang sudah tercapai dan mengekalkan prinsip sama rata, saling hormat dan manfaat bersama, kedua-dua pihak dapat mengemudi hubungan bilateral ke hadapan secara stabil.