PUTRAJAYA, 12 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan di Parlimen esok berhubung keputusan kerajaan untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata penjelasan itu turut merangkumi rayuan berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman mahkamah berkenaan.
Beliau berkata keputusan tersebut dicapai secara konsensus dan muafakat selepas satu mesyuarat khas Jemaah Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Setelah Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat khas semalam untuk mempertimbangkan keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan keputusan kita, ia dicapai selepas berjam-jam mendengar pandangan serta usul daripada setiap ahli Jemaah Menteri.
“Maka kita memutuskan secara konsensus dan muafakat mengenai keputusan tersebut. Berhubung soal 40 peratus yang termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, serta pertimbangan mengenai keputusan yang tidak dirayu, sementara keputusan penghakiman yang kita rayu akan saya jelaskan di Parlimen esok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi November 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
















Tinggalkan Balasan