Perjanjian Dengan Negara Lain Tidak Jejas Hubungan Malaysia-China, Kata TPM Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Tindakan pemeteraian perjanjian dengan mana-mana negara lain tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dengan China yang terus utuh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus mengusahakan kerjasama dengan China, ASEAN serta diaspora global bagi menyemarakkan inovasi, menarik pelaburan serta membuka peluang bagi rakyat negara terbabit.

Berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET 2025) hari ini, Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa kerjasama juga kekal menjadi aset paling kukuh bagi Malaysia dalam mengharungi realiti perubahan dunia.

“(Sehubungan itu), Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing…usah bimbang mengenai sebarang perjanjian yang dimeterai dengan mana-mana negara.

“Hubungan Malaysia dengan China kekal utuh. Ini kerana apabila ASEAN dan China berkembang secara bersama, manfaatnya akan dinikmati oleh semua pihak — kalangan belia, perniagaan serta komuniti kita. Secara bersama juga, kita dapat membentuk masa depan yang lebih sejahtera, stabil serta lebih terangkum untuk semua,” katanya.