KKR Selesai 96 Peratus Aduan MyJalan, Perkukuh Penyelenggaraan Infrastruktur – Nanta

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Kementerian Kerja Raya (KKR) berjaya menyelesaikan 95.83 peratus aduan kerosakan jalan yang diterima melalui aplikasi MyJalan sejak Ogos 2023, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan penyelenggaraan responsif kementerian itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada 13,451 aduan berkaitan jalan di bawah seliaan KKR dan agensi, sebanyak 12,890 aduan telah diselesaikan, membuktikan MyJalan kini menjadi tulang belakang pengurusan penyelenggaraan jalan negara.

“Keupayaan ini akan terus dipertingkat menerusi pelancaran MyJalan 2.0 yang menyediakan integrasi pintar, penjejakan status masa nyata dan analitik keselamatan, bagi memastikan pembaikan dapat dilaksanakan secara lebih proaktif dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga KKR sempena perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Alexander berkata pelbagai projek berimpak tinggi yang disiapkan tahun ini menunjukkan pembangunan negara memberi manfaat langsung kepada rakyat merentasi sektor kesihatan, pendidikan, keselamatan dan infrastruktur asas.

Antaranya termasuk penyiapan tujuh hospital, 14 klinik kesihatan dan klinik daif, dua pusat pakar, 127 projek menangani kepadatan sekolah serta 92 dewan serbaguna bagi memperkukuh proses pembelajaran dan aktiviti komuniti.

“Inisiatif menaik taraf sistem solar hibrid di Sabah dan Sarawak turut memastikan sekolah pedalaman menikmati akses elektrik stabil selama 24 jam,” katanya.

Alexander berkata kerajaan turut memperkukuh jaringan keselamatan melalui program menaik taraf lif di premis Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang memberi manfaat kepada lebih 12,620 anggota dan keluarga mereka.

Beliau berkata kejayaan penyempurnaan Jambatan Bagan Datuk–Kampung Sejagop yang diiktiraf sebagai projek bertaraf dunia turut mengangkat kemampuan teknikal dan kejuruteraan negara ke peringkat antarabangsa.

“Selain itu, inisiatif menaik taraf 67 simpang kepada Lampu Isyarat Pintar (STL) turut meningkatkan kecekapan trafik serta mengurangkan risiko kemalangan, sekali gus menjadikan pembangunan infrastruktur kerajaan lebih inklusif dan berorientasikan kesejahteraan rakyat,” katanya.