Cukai Tanah, Royalti Antara Lima Sumber Hasil Terbesar Pahang – MB

KUANTAN, 10 Dis — Cukai tanah dan royalti terus menjadi antara penyumbang hasil terbesar bagi Kerajaan Negeri Pahang dari 2022 hingga November 2025, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata hasil yang diperolehi daripada cukai tanah meliputi antaranya cukai petak semasa dan cukai tanah tahun pertama manakala bagi royalti melibatkan kayu-kayan, perlombongan dan pengeluaran bahan batuan. 

“Pahang turut memperoleh hasil menerusi lesen, bayaran pendaftaran dan permit selain perolehan jualan barang seperti premium perhutanan dan jualan barangan pertanian atau ternakan di samping geran daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Andansura Rabu (PN-Beserah) yang ingin tahu lima sumber hasil terbesar Pahang bermula 2022 hingga 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata jumlah hasil lima sumber berkenaan pada 2022 ialah lebih RM891 juta, RM935 juta (2023), RM932 juta (2024) dan RM762 juta (setakat Nov 2025).

Beliau berkata setakat Oktober lepas, lebih RM376 juta tunggakan cukai tanah direkodkan.

“Tunggakan kutipan pada 2021 mencatatkan RM1.1 bilion dan kita telah mengurangankanya, selepas ini kita akan giatkan usaha untuk kutip tunggakan namun ia bukan perkara mudah,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Andansura, beliau berkata punca tunggakan melibatkan pelbagai pihak  antaranya individu, korporat, syarikat dan agensi Kerajaan Persekutuan, namun ada yang telah melunaskan bayaran dan dalam perancangan untuk melaksanakannya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata sejak 2010 hingga kini, sebanyak 20.8 juta ekor benih ikan telah dilepaskan ke perairan umum di seluruh Pahang.

Beliau berkata setakat September tahun ini, sebanyak 2.48 juta ekor benih ikan telah dilepaskan bagi tujuan pemuliharaan sumber perikanan darat negeri itu.

“Pada 2024 sahaja, pendaratan perikanan darat di Pahang melebihi 2,200 tan metrik dengan nilai lebih RM64 juta,” katanya.