BN Kenal Pasti Calon Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

LUMUT, 11 Dis — Barisan Nasional (BN) sedang mengenal pasti calon bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah, yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perbincangan awal berhubung perkara itu, telah dilakukan dengan pimpinan tertinggi BN Sabah bagi mengekalkan kemenangan di kedua-dua kerusi tersebut.

“BN Sabah mempunyai autonomi tentang pemilihan calon ini dan selepas dimuktamadkan, ia akan dimaklumkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan di Arena Terbuka Teluk Gadung, Pulau Pangkor hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Dis, bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar pada 5 Dis.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah 29 Nov, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Pada peringkat politik nasional, Bung Moktar memulakan kerjaya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.