Dua Syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Melaka Dalam Persiapan Disenarai Di Bursa Malaysia – Ab Rauf

MELAKA, 8 Ogos — Dua syarikat berkaitan kerajaan negeri Melaka sedang dalam persiapan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata syarikat itu ialah Melaka ICT Holdings Sdn Bhd yang sedang melalui proses penilaian kesiapsiagaan syarikat serta penstrukturan semula organisasi sebagai persediaan ke arah tawaran awam permulaan yang disasarkan seawal suku pertama 2028.

Beliau berkata Syarikat Air Melaka Bhd pula sedang melalui proses penstrukturan semula syarikat serta proses usaha wajar, dengan sasaran untuk disenaraikan di Bursa Malaysia seawal suku pertama 2029.

“Kita mahu lebih banyak syarikat di Melaka turut melangkah ke pentas lebih besar, menembusi pasaran lebih luas dan  membuktikan bahawa syarikat dari negeri ini juga mampu berdiri sama tinggi dengan pemain terbaik di peringkat nasional.

“Kita bukan sekadar mahu membantu sebuah perniagaan untuk bermula tetapi kita mahu membawa syarikat yang sudah mempunyai asas yang kukuh untuk meningkatkan skala dan melangkah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘RHB-Bursa Malaysia Retail Corporation Day’ di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group Datuk Mohd Rashid Mohamad.

Ab Rauf berkata di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat, kerajaan negeri akan terus menjadi  pemudah cara yang menghubungkan syarikat tempatan dengan rakan strategik, akses pembiayaan serta peluang pelaburan yang mampu membuka ruang kepada pertumbuhan yang lebih besar.

“Atas sebab itulah, kehadiran RHB dan Bursa Malaysia pada hari ini cukup penting kerana untuk melangkah lebih jauh, syarikat memerlukan bukan sahaja peluang tetapi akses pada pembiayaan, pasaran, jaringan serta bimbingan yang tepat.

“Saya dimaklumkan setakat ini, RHB telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM485 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana di Melaka bagi menyokong operasi serta perkembangan perniagaan syarikat berkenaan,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha membawa masuk syarikat besar ke Melaka berikutan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi limpahan yang lebih luas kepada ekonomi negeri, membuka peluang kepada vendor dan syarikat tempatan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti untuk rakyat.

Terdahulu, katanya lebih 350  peserta yang terdiri daripada pelabur, wakil syarikat, pengamal pasaran dan pemimpin perniagaan hadir pada majlis berkenaan sekali gus menjadi platform terbaik kepada mereka untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan peluang pembiayaan serta potensi pasaran bagi mengembangkan perniagaan.