KUANTAN, 27 Ogos — Program Hari Eksport Pahang 2026 yang dijadual berlangsung pada 7 Sept depan bakal menjadi landasan terbaik bagi syarikat tempatan untuk memperluas penglibatan ke peringkat global sekali gus melonjakkan kedudukan Pahang dalam peta perdagangan antarabangsa.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Pahang mempunyai asas kukuh dengan 146 syarikat berdaftar di bawah Pangkalan Data Pengeksport Malaysia (MER) setakat Julai 2026, sekali gus membuka ruang pasaran yang luas untuk dimanfaatkan oleh lebih banyak usahawan tempatan.
“Angka ini membuka ruang pasaran yang sangat luas untuk dimanfaatkan, sekali gus menjadi peluang emas bagi lebih banyak usahawan tempatan mendaftar, meneroka khidmat nasihat eksport, dan meningkatkan peratusan penglibatan syarikat Pahang di persada antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
MATRADE komited untuk memacu momentum eksport Pahang yang mencecah nilai RM38.46 bilion pada 2025, selain menjadikan program itu sebagai platform memberi pendedahan mengenai pelbagai khidmat sokongan daripada institusi kerajaan dan swasta.
“Penganjuran Hari Eksport Pahang 2026 bermatlamat untuk menyokong kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai usahawan pengeksport yang berdaya saing, seiring dengan aspirasi dan dasar keusahawanan negeri,” menurut kenyataan itu.
Perbadanan tersebut yakin Pahang mempunyai banyak syarikat berpotensi tinggi yang boleh diketengahkan ke pasaran antarabangsa menerusi sokongan berterusan daripada ekosistem perdagangan negara.
Seramai 200 usahawan tempatan, khususnya perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) disasar menyertai program anjuran MATRADE itu yang akan diadakan di Hotel Grand Darul Makmur, di sini.

















Tinggalkan Balasan