HLIB Unjur Pertumbuhan KDNK Pada 5.5 Peratus, 2026 Pada 5.3 Peratus

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 mencapai 5.5 peratus, disokong oleh pengembangan berterusan sektor perkhidmatan dan pembinaan, aktiviti pembuatan yang lebih kukuh serta pemulihan sektor pertanian.

HLIB berkata anggaran itu lebih tinggi berbanding anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median konsensus sebanyak 5.3 peratus.

“Buat masa ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 5.3 peratus, dengan kecenderungan kepada pertumbuhan yang lebih tinggi,” menurut bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Menurut HLIB meskipun unjurannya ketika ini berada pada paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi, masih terdapat ruang untuk prestasi ekonomi yang lebih baik sekiranya aktiviti pembuatan terus meningkat seiring daya tahan sektor perkhidmatan.

Sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, dengan indeks volum perkhidmatan berkembang 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026.

Prestasi itu mencerminkan pengembangan berterusan, walaupun pada kadar lebih sederhana, dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan (4.9 peratus), selain subsektor maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (7.5 peratus), katanya.

Bank pelaburan itu berkata pertumbuhan yang lebih sederhana itu sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan lebih kukuh dalam subsektor perkhidmatan perniagaan dan kewangan (5.7 peratus).

Sementara itu, sektor pembuatan dijangka mencatatkan prestasi lebih kukuh, sejajar dengan peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sektor pembuatan sebanyak 7.8 peratus.

“Pengembangan sektor itu terus dipacu oleh industri berorientasikan eksport (9.4 peratus), disokong permintaan luaran yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), susulan kitaran peningkatan global industri semikonduktor yang masih berterusan.

“Perkembangan ini ketara khususnya dalam pembuatan papan litar bercetak, komputer dan pemasangan mikro litar bersepadu elektronik, serta peralatan pengukuran, pengujian, navigasi dan kawalan,” katanya.