Kerajaan Kaji Pendekatan Capai Sasaran 30,000 Pengecas EV Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 16 Nov — Kerajaan sedang mengkaji pelbagai pendekatan termasuk cadangan mengenakan levi ke atas kenderaan elektrik (EV), bagi mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan ke arah mencapai sasaran 30,000 pengecas menjelang 2030, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Timbalan Menteri Sim Tze Tzin berkata cadangan itu masih diperingkat kajian dan kerajaan perlu meneliti pelbagai aspek sebelum sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya dibuat. 

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah keperluan memperluas kapasiti pencawang elektrik dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi membolehkan lebih banyak stesen pengecasan EV dibangunkan. 

“Sekiranya pencawang elektrik tidak disediakan, (kemudahan) itu tidak dapat diperluas. Jadi, kita berharap TNB dapat membantu kerajaan menyediakan lebih banyak stesen pengecasan EV dan akhirnya dapat memberi manfaat dari segi kos,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung langkah konkrit kerajaan untuk mencapai 30,000 pengecas EV, termasuk memastikan kemudahan itu turut tersedia di kawasan luar bandar dan pekan kecil. 

Menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai usaha menangani kebimbangan jarak perjalanan (range anxiety), khususnya di kawasan luar bandar dan sepanjang lebuh raya, Sim berkata sebanyak 148 unit pengecas EV arus terus telah beroperasi di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah serta stesen minyak di lebuh raya utama. 

Setakat ini, sebanyak 20 syarikat pengendali titik pengecasan aktif dalam pemasangan infrastruktur berkaitan, dan kerajaan masih menggalakkan penyertaan sektor swasta tanpa mewajibkan mereka memasang pengecas di lokasi tertentu, kata Sim. 

“Pencawang elektrik ini harganya tinggi dan TNB perlu merancang. Ia tidak boleh disediakan dalam tempoh sehari. Pembinaannya memerlukan (proses) pembinaan, perancangan dan sebagainya. Jadi, ada kawasan yang memerlukan pencawang elektrik. 

“Kita perlu memastikan terdapat permintaan pengguna yang mencukupi untuk menampung kos pelaburan tersebut,” katanya.