KUALA LUMPUR, 3 Nov — Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara susulan penamatan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) kepada RM3 bilion menerusi penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion bagi membiayai projek bekalan air di utara Perak dan Pulau Pinang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian penyaluran semula pinjaman antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dengan Export-Import Bank of China (CEXIM) itu dimeterai pada 30 Okt lepas.
Kontrak bagi kedua-dua projek bernilai keseluruhan RM9.4 bilion itu diberikan secara rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau pada 1 Nov 2016.
“Dana tersebut akan digunakan untuk membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara atau Northern Perak Water Supply Scheme.
“Pemeteraian perjanjian itu merupakan susulan rundingan yang dikemukakan semula oleh Malaysia pada 2024 serta perbincangan dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri China Li Qiang pada 2025,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 30 Okt lepas, Anwar menyaksikan pemeteraian perjanjian antara SSER, sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, dengan CEXIM bagi penyaluran semula pinjaman bernilai RM5 bilion itu untuk mengurangkan kerugian negara susulan penamatan projek TSGP dan MPP pada 2018.
Mengulas lanjut, Anwar berkata setakat 2018, sebanyak RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada nilai kontrak telah dibayar, sedangkan kemajuan kerja yang dilaporkan bagi kedua-dua projek hanya 13 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata angka kemajuan kerja berkenaan belum diaudit atau disahkan.
Semakan turut mendapati urusan tanah serta kebolehlaksanaan pembekalan gas bagi TSGP dan hak pemasangan saluran paip bagi MPP masih belum diselesaikan.
“Ini kepincangan tatakelola yang sangat serius,” katanya.
Beliau berkata hampir keseluruhan nilai kontrak telah dibayar sebelum kemajuan kerja disahkan, manakala kontrak kedua-dua projek itu akhirnya ditamatkan pada 2018.
MPP ialah projek saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer dari Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan, ke Jitra, Kedah, dengan nilai kontrak RM5.35 bilion.
TSGP pula ialah projek saluran paip gas sepanjang 680 kilometer yang menghubungkan Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan nilai kontrak RM4.06 bilion.
Kedua-dua projek itu melibatkan pembiayaan CEXIM sebanyak 85 peratus daripada nilai projek dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.
Mengulas mengenai manfaat kepada penduduk Sabah, Anwar berkata kerajaan tetap menyalurkan dana hampir RM5 bilion bagi projek bekalan elektrik dan saluran paip di negeri itu untuk memenuhi keperluan penduduk secara keseluruhan.
















Tinggalkan Balasan