KUSKOP Salur RM10.7 Bilion Dana Pembiayaan Kepada Hampir 300,000 Usahawan – Sim

KAJANG, 1 Nov — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah menyalurkan sebanyak RM10.7 bilion dana pembiayaan kepada hampir 300,000 usahawan termasuk penjaja dan peniaga kecil bagi tempoh Januari hingga September lepas.

Menteri berkenan Steven Sim berkata penyaluran tersebut merupakan sebahagian daripada sasaran komitmen RM15 bilion yang digerakkan kementerian menerusi tujuh agensi pembiayaan. 

“Daripada komitmen RM15 bilion yang dijanjikan oleh KUSKOP melalui tujuh agensi pembiayaan, kita telah berjaya menyalurkan RM10.7 bilion kepada hampir 300,000 orang usahawan di seluruh negara. 

“Daripada RM10.7 bilion ini, RM3.14 bilion adalah pembiayaan mikro kredit dan dalam kalangan hampir 300,000 usahawan yang terima pembiayaan kita, 200,000 ataupun dua pertiga adalah usahawan daripada kalangan penjaja, peniaga kecil, pekedai dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Sementara itu, Sim berkata KUSKOP telah melaksanakan pelbagai langkah penting bagi melindungi peniaga dan usahawan antaranya kelulusan pembiayaan di bawah RM20,000 dalam tempoh 24 jam.

“Kalau penjaja dan peniaga kecil perlukan modal segera, mereka sudah terdesak dan tak boleh tunggu berhari-hari. Kalau mereka tak boleh tunggu, mereka hendak cari siapa? Nanti cari ceti, cari along. Jadi untuk mengelakkan masalah ini, agensi di bawah KUSKOP wajib beri jawapan dalam tempoh 24 jam.

“Mulai Ogos tahun ini juga, buat pertama kali dalam sejarah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, permohonan boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas keprihatinan terhadap sektor keusahawanan di negara ini.