Malaysia Berupaya Jadi Peneraju Global Kewangan Digital Patuh Syariah

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Malaysia mempunyai elemen yang diperlukan untuk menjadi peneraju global dalam kewangan digital patuh syariah, dipacu oleh kemunculan inovasi rantaian blok dan usaha untuk membangunkan produk patuh syariah pertama di dunia dalam bank kripto, kata usahawan mobiliti global.

Ketua Pegawai Eksekutif Multipolitan, Nirbhay Handa berkata Kuala Lumpur perlu membina kelebihannya yang tersendiri dalam ekosistem aset digital global dengan memanfaatkan ekosistem kewangan Islam Malaysia yang sedia kukuh.

“Ini merupakan pendekatan yang lebih baik berbanding bersaing secara langsung dengan pusat kewangan antarabangsa yang lain,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Multipolitan merupakan syarikat pemula niaga yang berpangkalan di Singapura.

Handa memberitahu Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada usaha membina penyertaan institusi yang lebih besar dalam ekosistem aset digital berbanding bergantung terutamanya kepada pelabur runcit.

Hal ini berikutan Kuala Lumpur tersenarai antara 10 bandar terbaik dunia dalam penarafan komprehensif Crypto Friendly Cities Index 2026 oleh Multipolitan yang diterbitkan menerusi platform penasihat gaya hidup dan pengurusan kekayaannya pada Jun tahun ini.

Faktor-faktor yang menyokong potensi Malaysia untuk menjadi perintis dalam kewangan digital patuh syariah termasuk ketersediaan aset digital yang diiktiraf, akaun dagangan khusus di bursa, token bersandarkan aset, dana unit amanah kripto dan protokol pertaruhan (staking) tanpa faedah.

Produk-produk ini adalah halal kerana ia mengelakkan faedah, spekulasi berlebihan seperti perjudian, ketidaktentuan yang tinggi serta penglibatan dalam industri yang dilarang.

Diasaskan bersama pada 2024 dan disokong oleh usahawan teknologi unicorn, Multipolitan ialah syarikat pemula niaga yang menyediakan platform migrasi global dan mobiliti antarabangsa berasaskan produk yang bertujuan memodenkan industri imigresen yang kompleks serta berteraskan birokrasi menerusi pengalaman lancar yang dipacu oleh perisian.

“Kuala Lumpur boleh mengamalkan pendekatan yang memberi tumpuan mendalam kepada satu bidang khusus dan terus kekal sebagai peneraju dalam kewangan Islam,” katanya.

Handa menyatakan Multipolitan juga sedang meneroka Malaysia sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya.

Beliau berkata selain kewangan Islam, Kuala Lumpur berada pada kedudukan yang kukuh untuk menjadi hab serantau bagi pusat perkhidmatan yang dikongsi berikutan lokasinya yang strategik, akses kepada tenaga kerja mahir serta kos operasi yang kompetitif.

Sambil menyifatkan kedudukan geografi Malaysia sebagai “lindung nilai terbaik” dalam persekitaran global semasa, Handa menegaskan negara ini menawarkan akses kepada syarikat-syarikat kepada tenaga kerja berkualiti pada kos yang sederhana sekali gus menjadikan ibu negara Malaysia sebagai pangkalan yang menarik untuk operasi serantau.

Penyertaan Institusi Kunci Kepada Pertumbuhan Aset Digital

Mengulas lanjut, Handa berkata Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan institusi dalam ekosistem aset digital bagi membuka peluang manfaat ekonomi yang lebih luas, berbanding bergantung terutamanya kepada pelabur runcit.

Pelabur runcit merupakan individu yang bukan pelabur profesional dan membeli serta menjual saham, bon atau dana menggunakan wang peribadi mereka sendiri.

Beliau menjelaskan pelabur runcit cenderung lebih bersifat spekulatif dan lebih berkemungkinan memasuki pasaran ketika pasaran menaik serta berundur ketika berlaku kemerosotan pasaran.

“Pelabur institusi berorientasikan pelaburan jangka panjang. Jika Malaysia mahu meraih manfaat daripada Web 3.0, negara ini perlu menarik pelaburan institusi ke dalam aset digital,” katanya.

Web 3.0 merujuk kepada generasi internet seterusnya yang dikuasakan oleh teknologi rantaian blok yang membolehkan aplikasi terdesentralisasi, aset digital serta perkhidmatan berasaskan token.

Beliau menambah bahawa penggunaan yang lebih meluas dalam kalangan institusi akan membantu mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta memperkukuh ekosistem aset digital dengan menarik pencipta pasaran, pentadbir dana dan profesional pematuhan.