Malaysia Perkukuh Pembangunan Ekonomi Kreatif Melalui CEDM

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Malaysia memperkukuh pembangunan ekonomi kreatif menerusi pelancaran Creative Economy Data Model (CEDM) yang akan menjadi asas kepada penggubalan dasar, perancangan pembangunan serta pengukuran impak sektor kreatif secara lebih menyeluruh, sistematik dan berasaskan bukti.

Model itu dilancarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) melalui penganjuran Forum Kebangsaan Pelancaran CEDM.

Ketua Pengarah MyIPO Yusnieza Syarmila Yusoff berkata pelaksanaan CEDM bertujuan melengkapkan pendekatan pengukuran sedia ada dengan mengambil kira keseluruhan rantaian nilai ekonomi kreatif yang semakin dinamik susulan transformasi digital, kemunculan model perniagaan baharu serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

“Pendekatan kolaboratif ini diharap dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang memanfaatkan harta intelek, kreativiti dan inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam kenyataan selepas forum kebangsaan pelancaran model berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor ekonomi kreatif menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar dengan nilai kira-kira RM130.7 bilion, selain mewujudkan lebih 760,000 peluang pekerjaan.

“Pencapaian itu membuktikan ekonomi kreatif kini adalah antara sektor strategik yang semakin penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga adalah kesinambungan kepada kerjasama strategik antara MyIPO dan WIPO yang bermula menerusi pelaksanaan Kajian Industri Berasaskan Hak Cipta Malaysia pada 2008, yang menjadi penanda aras pertama negara dalam mengukur sumbangan industri berasaskan hak cipta kepada ekonomi.

“Ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Strategik MyIPO NextGen yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, pengkomersialan harta intelek serta pengukuhan daya saing industri kreatif negara,” tambahnya dalam kenyataan itu.

Forum berkenaan dihadiri wakil kementerian, agensi kerajaan, penggiat industri kreatif, ahli akademik serta organisasi antarabangsa bagi membincangkan pendekatan baharu untuk memperkukuh ekosistem kreatif negara.