MEF Cadang Kerajaan Perkenal Pakej Kelangsungan Perkasa Daya Tahan PMKS

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan memperkukuh bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan mencadangkan pengenalan pakej kelangsungan dan daya tahan bagi PMKS.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata perusahaan berkenaan terus berdepan tekanan akibat peningkatan kos operasi dan buruh, kekangan pembiayaan, aliran tunai yang lebih lemah, gangguan rantaian bekalan, keperluan kawal selia serta persaingan pasaran yang sengit.

Justeru, beliau mencadangkan pakej itu merangkumi pelepasan cukai bersasar dan sementara, akses pembiayaan yang lebih pantas dan mudah serta penggunaan pembiayaan berasaskan aliran tunai yang lebih meluas.

“Di bawah pakej ini, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memperluas jaminan yang disokong kerajaan, memberikan kelonggaran sementara dari segi peraturan dan pematuhan, mempercepatkan pembayaran kepada pembekal PMKS, memperluas akses PMKS kepada perolehan kerajaan serta menyediakan sokongan bagi pengekalan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dasar berkaitan PMKS perlu dilihat dari sudut kelangsungan pekerjaan dan ekonomi bagi membantu perusahaan yang berdaya maju terus bertahan.

Langkah itu penting dalam melindungi pekerja kerana perniagaan ini menyediakan pekerjaan kepada jutaan rakyat Malaysia serta menyokong rangkaian bekalan domestik yang luas.

“Matlamat kita bukan untuk memastikan perniagaan yang tidak cekap terus bertahan tanpa batasan atau menghalang PMKS yang berdaya maju daripada terpaksa ditutup akibat tekanan sementara berkaitan aliran tunai dan kos yang di luar kawalan mereka,” katanya.

MEF, katanya bersedia bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan yang lain bagi memastikan bantuan kepada PMKS bersifat praktikal, mudah diakses dan responsif terhadap keadaan perniagaan sebenar.

“PMKS telah menunjukkan daya tahan yang luar biasa dalam menghadapi cabaran ekonomi yang berulang. Mereka terus menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia, menyokong pembekal tempatan dan menyumbang kepada ekonomi meskipun berdepan tekanan margin keuntungan.

“Mereka kini memerlukan jaringan perlindungan yang lebih kukuh dan menyeluruh. Kerajaan telah mengambil langkah penting. Gesaan MEF adalah supaya kita bergerak lebih jauh — lebih pantas, lebih bersasar dan dengan lebih segera — sebelum kesukaran perniagaan yang bersifat sementara bertukar menjadi penutupan perniagaan dan kehilangan pekerjaan secara kekal,” katanya.