MyCC, HKCC Meterai MoU Perkukuh Kerjasama Persaingan Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan badan berkuasa persaingan Suruhanjaya Persaingan Hong Kong (HKCC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini untuk bekerjasama mengukuhkan dasar dan kerangka perundangan persaingan serta aspek penguatkuasaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata MoU itu  merupakan kerjasama keempat dimeterai MyCC melalui MoU dengan badan persaingan luar negara antaranya Turkiye Competition Authority, Korea Fair Trade Commission dan Philippine Competition Commission.

Beliau berkata pemeteraian itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas jaringan strategik dengan pihak berkuasa persaingan antarabangsa dalam usaha memelihara serta menggalakkan persaingan yang sihat dan adil.

“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan saling berhubung, isu persaingan turut melibatkan aktiviti perniagaan dan entiti yang merentasi sempadan. 

“Kerjasama antara pihak berkuasa persaingan pelbagai negara amat penting bagi membolehkan perkembangan pasaran serta cabaran penguatkuasaan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kerjasama itu akan melibatkan pertukaran maklumat mengenai perkembangan penting berkaitan undang-undang persaingan termasuk pindaan perundangan, perkongsian pengalaman berkaitan siasatan dan jalinan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama melibatkan teknikal bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan melalui program latihan, bengkel, penempatan sementara pegawai dan kolaborasi penyelidikan. 

“Kerjasama turut membincangkan serta menangani isu persaingan rentas sempadan dan penguatkuasaan undang-undang persaingan secara dua hala atau bersama pihak berkuasa persaingan antarabangsa,” katanya. 

Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui MyCC akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Usaha ini akan digerakkan secara berterusan bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, memperkukuh kapasiti institusi dan memastikan ekosistem persaingan negara kekal dinamik dan berdaya saing demi kepentingan pengguna dan ekonomi negara,” katanya.