KUALA LUMPUR, 24 Julai — Nanas MD2 Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam usaha memperluaskan pasaran eksport apabila membuat penampilan sulungnya di The Food Show New Zealand 2026 (TFSNZ 2026) susulan kejayaan negara memperoleh akses pasaran bagi nanas segar ke New Zealand.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dalam satu kenyataan berkata pengunjung ke TFSNZ 2026 yang sedang berlangsung di Auckland Showgrounds, New Zealand bermula Khamis sehingga Ahad ini berpeluang menikmati dan menilai sendiri kualiti premium nanas varieti MD2 popular itu.
Menurutnya, inisiatif membawa MD2 menembusi pasaran New Zealand diterajui oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan kerjasama Pertubuhan Pengeksport Nanas Malaysia (MAPEA – Malaysian Pineapple Exporters Association) dan Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) Sydney.
Sebanyak enam usahawan agromakanan Malaysia menyertai TFSNZ 2026 di bawah Pavilion Malaysia yang bertemakan “Taste of Malaysia” dan dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Abu Bakar Mamat, pada Khamis.
Selain nanas segar, produk agromakanan berpotensi tinggi yang diketengahkan bagi pasaran New Zealand merangkumi produk berasaskan buah-buahan, sos dan pes masakan, produk makanan laut sejuk beku dan produk minuman.
“Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperluaskan akses pasaran serta meningkatkan daya saing produk agromakanan dan buah tropika tempatan di pasaran global.
“Penyertaan dalam pameran antarabangsa seperti TFSNZ 2026 merupakan platform penting bagi memperkukuhkan produk agromakanan Malaysia, memperluaskan peluang eksport serta meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar makanan berkualiti tinggi di persada global,” menurut kenyataan itu.
Ini merupakan penyertaan kedua Malaysia dalam TFSNZ.
Sebagai usaha berterusan bagi memperkukuh jaringan perdagangan dan kerjasama perniagaan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand dan New Zealand Malaysia Business Association turut menganjurkan Industry Networking Reception yang menghimpunkan lebih 40 peserta terdiri daripada usahawan Malaysia, pengimport, pengedar, peruncit serta pemain industri di New Zealand.

















Tinggalkan Balasan