Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 13 Jun — Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan berikutan pelabur akan memantau perkembangan terbaharu konflik di Asia Barat.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata faktor utama masih tertumpu sama ada Amerika Syarikat (AS) dan Iran boleh mencapai perjanjian damai yang boleh meningkatkan harga emas kembali melebihi paras US$4,300.

“Jika perjanjian meyakinkan dicapai, dolar AS boleh susut sekitar tiga hingga lima peratus dalam tempoh sebulan yang akan memberi kesan signifikan kepada pasaran mata wang dan emas.

“Bagaimanapun, masih terdapat banyak ketidakpastian. Jika perjanjian itu dibatalkan, pasaran berkemungkinan besar akan kembali bergantung kepada sentimen tajuk berita utama, manakala pedagang emas mungkin mengambil sikap lebih berhati-hati berbanding membuat keputusan hala tuju pasaran,” katanya kepada Bernama.

Dari minggu ke minggu, kontrak Jun 2026 susut kepada US$4,232.70 setiap auns troy daripada US$4,484.50 dicatatkan pada Jumaat lepas, Julai 2026 merosot kepada US$4,249.30 auns troy daripada US$4,499.20 auns troy minggu lepas, Ogos 2026 turun kepada US$4,265.70 auns troy daripada US$4,513.90 auns troy sebelumnya.

Kontrak September 2026 berkurangan kepada US$4,270.20 auns troy daripada US$4,518.40 auns troy dan Oktober 2026 merosot kepada US$4,289.30 auns troy daripada US$4,522.90 auns troy sebelum itu.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 104 lot daripada 39, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 89 kontrak daripada 60 minggu sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$4,074.85 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 11 Jun, 2026.