Nikmati Diskaun Pembelian Rumah 10 Peratus Di AREC 2026 – KPKT

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempelawa orang ramai merebut peluang menikmati diskaun pembelian rumah sebanyak 10 peratus sempena Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 1 Ogos ini.

KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif khas itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban pembeli, khususnya dari segi kos permulaan pembelian rumah sepanjang persidangan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Menurut kenyataan itu, AREC 2026 yang juga persidangan hartanah terbesar di rantau ASEAN menghimpunkan pemimpin industri, pelabur, institusi kewangan dan pemaju hartanah dari dalam serta luar negara, selain menjadi platform terbaik kepada pengunjung untuk meneroka pelbagai pilihan kediaman, maklumat pembiayaan dan menikmati tawaran eksklusif.

“Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas akses pemilikan rumah kepada rakyat melalui kerjasama strategik antara kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri hartanah.

“Pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pembiayaan perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP). Menerusi Belanjawan 2026, Kerajaan MADANI telah meningkatkan had jaminan SJKP sebanyak RM20 bilion,” menurut kenyataan itu.

KPKT memaklumkan peningkatan had jaminan SJKP itu adalah bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan berpendapatan tidak tetap, bekerja sendiri dan pekerja ekonomi gig mendapatkan akses kepada pembiayaan perumahan serta merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri.

Sehingga 30 Jun lepas, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada 118,731 pembeli rumah dengan jumlah keseluruhan jaminan pembiayaan sebanyak RM28.92 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata AREC 2026 adalah platform sehenti yang menghimpunkan pelbagai tawaran perumahan, pembiayaan dan khidmat nasihat bagi memudahkan rakyat membuat keputusan terbaik dalam memiliki rumah.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tidak melepaskan peluang hadir ke AREC 2026. Ini adalah masa terbaik untuk merealisasikan impian memiliki rumah sendiri dengan menikmati tawaran diskaun pembelian rumah sebanyak 10 peratus yang disediakan oleh pemaju yang mengambil bahagian.

“Ayuh datang bersama keluarga, rebut pelbagai tawaran eksklusif, terokai pilihan kediaman terbaik dan nikmati pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana tawaran sebegini hanya diberikan sempena AREC 2026,” katanya yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran itu.

Selain pameran hartanah yang menampilkan pelbagai projek kediaman daripada pemaju terkemuka, pengunjung juga boleh mendapatkan konsultasi pembelian rumah dan pembiayaan di Pavilion KPKT serta mengikuti forum dan sesi perkongsian ilmu oleh pakar hartanah tempatan serta antarabangsa.

AREC 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor hartanah negara dengan sasaran menjana nilai transaksi sebanyak RM1.5 bilion, sekali gus memperkukuh ekosistem perumahan negara dan menyokong aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman berkualiti, selesa dan mampu dimiliki.