Pelaburan Keseluruhan Terengganu Suku Pertama 2026 Berjumlah RM399.8 Juta

KUALA TERENGGANU, 13 Julai — Terengganu merekodkan pelaburan keseluruhan bernilai RM399.8 juta bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata jumlah pelaburan itu merangkumi sektor perkhidmatan sebanyak RM336.4 juta (84.1 peratus) dan perkilangan RM63.4 juta (15.9 peratus)

“Pelaburan domestik menyumbang sebanyak 87.1 peratus atau RM348.4 juta daripada jumlah pelaburan yang diluluskan manakala pelaburan asing menyumbang 12.9 peratus atau RM51.5 juta,” katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) berkaitan nilai pelaburan yang telah pasti bagi suku pertama 2026 dan pertimbangan yang boleh dimasukkan dalam tahun ini.

Mohd Nurkhuzaini berkata pelaburan berpotensi yang sedang dalam pertimbangan adalah sembilan projek melibatkan sektor utiliti, tenaga boleh baharu, logistik dan hospitaliti.

Menurutnya bagi tempoh sama, nilai pelaburan yang diluluskan di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM91.2 juta.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi empat projek yang dijangka mewujudkan 254 peluang pekerjaan.