PIAM Lantik Semula Ng Kok Kheng Sebagai Pengerusi Bagi Penggal 2026-2028

KUALA LUMPUR, 30 April — Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah melantik semula Ng Kok Kheng sebagai pengerusinya bagi penggal 2026-2028, berkuat kuasa 29 April, 2026.

Ng yang mengulas mengenai pelantikan itu berharap dapat memimpin lembaga pengarah dalam mewakili industri untuk mengharungi landskap yang berubah-ubah, dengan fokus mengoptimumkan peluang pertumbuhan.

Beliau pada masa yang sama juga komited menangani risiko dan teknologi baru muncul yang didorong oleh pembaharuan kawal selia, serta kadar ketidaktentuan ekonomi global dan iklim yang semakin pantas.

“Sejajar dengan visi kami untuk menjadi suara yang dipercayai bagi industri insurans am, PIAM dan 23 ahlinya kekal komited untuk memupuk ekosistem yang mampan dan memastikan rakyat Malaysia terus mendapat manfaat daripada sektor yang teguh dan berdaya tahan yang menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk individu, perniagaan, dan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Ng merupakan pengarah bebas dengan pengalaman industri selama lebih 30 tahun.

Sementara itu, persatuan berkenaan turut melantik semula Antony Lee, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AIG Malaysia Insurance Bhd, sebagai timbalan pengerusinya.