Program AI Untuk Rakyat Persiap Tenaga Kerja Hadapi Perubahan Pasaran – Ramanan

amananKUALA LUMPUR, 31 Ogos — Program AI untuk Rakyat yang menyasarkan 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun merupakan langkah penting dalam mempersiapkan tenaga kerja Malaysia menghadapi perubahan pesat landskap pekerjaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata akses kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas dalam kalangan anak muda bagi memastikan mereka memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa serta tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi global.

“Dunia pekerjaan sedang berubah dengan sangat pantas. AI, automasi dan digitalisasi bukan lagi perkara untuk masa hadapan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pasaran pekerjaan hari ini.

“Justeru, membuka akses teknologi AI kepada 100,000 anak muda merupakan pelaburan penting untuk mempersiapkan bakat Malaysia dengan kemahiran yang relevan, dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan berkata inisiatif itu turut melengkapi usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh kemahiran tenaga kerja menerusi program seperti Jelajah AI MYMahir, yang menyediakan latihan AI secara percuma kepada lebih 22,000 rakyat Malaysia dengan peruntukan hampir RM110 juta melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

“Mereka semua adalah sebahagian daripada kekuatan ekonomi Malaysia dan mereka tidak boleh tercicir daripada perhatian serta dasar kerajaan.

“Pendekatan ini juga selari dengan usaha KESUMA untuk membangunkan pasaran buruh yang lebih inklusif, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memastikan perubahan ekonomi dan teknologi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, AI, pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang akan berkuat kuasa 1 Sept ini.

Bagi Program AI untuk Rakyat, Anwar berkata belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan, termasuk ILMUChat, Gemini Enterprise, WonderClip dan MuleRun.

Dalam pengumuman sama, kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 kepada 300 liter sebulan, manakala lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati BUDI Diesel hingga 400 liter sebulan.

Ramanan berkata kesemua inisiatif berkenaan memperlihatkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan pekerja.

Beliau berkata ia merangkumi pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, pekerja gig, golongan bekerja sendiri, peniaga dan penjaja kecil, wanita yang menjana pendapatan dari rumah serta golongan belia.

“Bagi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, perkara paling penting ialah bagaimana kekuatan ekonomi negara dapat dirasai oleh pekerja dalam kehidupan seharian mereka, sama ada melalui pengurangan tekanan kos sara hidup, peningkatan kemahiran, peluang menjana pendapatan atau sokongan kepada mereka yang bekerja sendiri,” katanya.

Pembangunan inklusif berteraskan semangat kemerdekaan bermakna kemajuan negara tidak meninggalkan sesiapa di belakang dan hasil pertumbuhan ekonomi dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Saya yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dan kerjasama seluruh jentera kerajaan, kita mampu membina sebuah Malaysia yang lebih produktif, berkemahiran tinggi dan sejahtera, dengan setiap pekerja diberikan peluang untuk menikmati hasil kemajuan negara,” katanya.