KUALA LUMPUR, 4 Jun — Ringgit diniagakan sedikit kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan hari ini apabila sentimen lemah terhadap mata wang negara maju itu mengatasi kesan data ekonomi utama AS yang lebih baik daripada jangkaan.
Ia berikutan meskipun data pembuatan dan pekerjaan AS menunjukkan ekonomi negara itu kekal berdaya tahan, kebimbangan terhadap dasar perdagangan bersifat perlindungan yang diamalkan AS terus menjejaskan sentimen pasaran.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 3.9935/0005 berbanding dolar AS pada paras 3.9955/9990 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.30 peratus kepada 99.519 mata.
“Data ekonomi AS menunjukkan ekonomi negara itu kekal kukuh, bagaimanapun, satu tinjauan perniagaan mendapati responden berdepan kos bahan api yang lebih tinggi serta kadar tarif yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.
Indeks ISM bagi sektor perkhidmatan meningkat kepada 54.5 mata pada Mei berbanding 53.6 mata pada April, manakala Perubahan Pekerjaan ADP bertambah sebanyak 122,000 pada Mei, melebihi anggaran konsensus sebanyak 118,000.
“Berikutan itu, terdapat petunjuk bahawa perniagaan mungkin mahu memindahkan kos tambahan tersebut kepada pengguna.
“Pengumuman terkini oleh Wakil Perdagangan AS menunjukkan dasar perdagangan perlindungan dijangka terus kekal, sekali gus meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan terus menjejaskan sentimen pasaran,” kata Mohd Afzanizam.
Dalam negara, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3613/3707 daripada 5.3727/3775, mengukuh berbanding euro kepada 4.6357/6438 daripada 4.6400/6440 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4966/5011 daripada 2.5005/5027 ketika ditutup pada Isnin.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau.
Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1121/1178 daripada 3.1164/1193. Ringgit turut meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 222.2/222.7 daripada 222.3/222.7 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.47/6.48 berbanding penutupan Isnin.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.2051/2343 daripada 12.1825/1988 sebelumnya.

















Tinggalkan Balasan