KOTA KINABALU, 13 Julai — Sabah mengalu-alukan kehadiran pelabur yang memiliki kepakaran, pengalaman serta keupayaan pembiayaan untuk memacu pembangunan yang inklusif dari aspek sosial dan ekologi bagi memastikan manfaat yang nyata dan mampan kepada negeri dan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata transformasi ekonomi Sabah amat membanggakan apabila berkembang daripada sebuah ekonomi yang berteraskan sektor primer kepada sebuah ekonomi yang pelbagai dan dinamik.
“Selaras dengan matlamat ekonomi Malaysia secara keseluruhannya, komitmen kita terhadap pertumbuhan kekal teguh. Sabah terbuka untuk pelaburan,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Pelaburan Impak Asia Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata Sabah mengiktiraf bahawa pelaburan impak pada asasnya melibatkan penyaluran modal kepada pelaburan yang menjana manfaat sosial dan alam sekitar di samping memberikan pulangan kewangan.
Justeru, katanya, sidang kemuncak itu amat bertepatan pada masanya kerana ia menyediakan platform kepada pemimpin pemikiran dan industri untuk membincangkan pelaburan impak, menjalin kerjasama global serta memperkenalkan penyelesaian yang bersifat transformatif.
“Sidang kemuncak itu menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Sabah untuk muncul sebagai antara hab utama pembangunan mampan dan pelaburan impak di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Hajiji berkata rantau Asia Pasifik berada pada landasan pertumbuhan yang memberangsangkan, didorong oleh ekonomi yang dinamik, proses pembandaran yang pesat serta potensi pasaran yang semakin berkembang, sekali gus menjadikannya destinasi utama peluang pelaburan.
Katanya, dunia kini memandang ke arah Asia Pasifik bukan sahaja disebabkan oleh potensi ekonominya tetapi juga kerana kepimpinan pemikiran dalam sektor utama seperti teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.
Mengenai usaha pemuliharaan, Hajiji berkata pada Sidang Kemuncak Kelestarian yang lepas beliau telah menjelaskan bahawa sebelum kelestarian menjadi agenda antarabangsa, Sabah telahpun melindungi hutan, lautan, hidupan liar serta ekosistemnya.
“Hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya. Kita juga mengekalkan status sebagai penyerap karbon bersih berdasarkan data inventori gas rumah hijau, disokong oleh kawasan hutan yang luas yang memperkukuh kapasiti negara menyerap karbon,” katanya.
Hajiji berkata keperluan pembangunan Sabah masih nyata dan mendesak iaitu memerlukan jalan raya yang lebih baik, bekalan elektrik yang stabil, bekalan air bersih serta peluang ekonomi yang lebih luas.

















Tinggalkan Balasan