BANGKOK, 3 Sept — Malaysia dan Thailand berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai US$30 bilion tahun depan, didorong oleh prestasi kemajuan yang positif dalam tempoh lapan bulan pertama 2026.
Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata beberapa siri pertemuan dengan pelbagai pihak telah diadakan bagi memudah cara urusan eksport dan import produk antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, katanya isu dokumentasi produk terus menjadi halangan utama untuk eksport barangan Malaysia ke pasaran Thailand.
“Justeru, saya berharap pihak berkuasa di Malaysia dapat membantu pengeluar produk menyediakan dokumentasi dari segi pengesahan produk dan sebagainya untuk tujuan kelulusan, pemasaran atau kemasukan produk ke Thailand.
“Kita mahu memastikan kemasukan eksport dan import antara kedua-dua negara menepati standard yang diperlukan dan pada masa yang sama, tidak menyusahkan pengimport dan pengeksport,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Vitafoods Asia 2026 di sini, semalam.
Beliau turut melawat beberapa reruai syarikat Malaysia yang menyertai pameran perdagangan itu.
Wan Zaidi berkata kumpulan teknikal dari Malaysia dan Thailand akan terus berbincang untuk mencapai kata sepakat bagi memudahkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
Katanya syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu mempunyai keupayaan tinggi untuk menghasilkan produk kesihatan dan mampu membekalkan produk tersebut kepada pelbagai syarikat antarabangsa yang memenuhi keperluan pasaran tempatan.
“Ada juga (syarikat) yang baru mula meneroka pasaran Thailand. Saya rasa tidak terlalu sukar untuk mereka kerana banyak pengeluar produk kesihatan di Thailand sentiasa mencari sumber dan produk berkualiti untuk pasaran atau pembangunan produk mereka.
“Malah, kebanyakan syarikat pengeluar Malaysia bersedia mengeluarkan produk sebagai Pengilang Peralatan Asli (OEM) atau Pengilang Reka Bentuk Asli (ODM) selain menjalankan penyelidikan bersama bagi membangunkan dan mengeluarkan produk yang menepati keperluan pasaran mereka,” katanya.
Vitafoods Asia 2026 yang diadakan dari 2 hingga 4 Sept 2026 di Pusat Konvensyen Kebangsaan Queen Sirikit (QSNCC) menghimpunkan lebih 800 syarikat dari 40 negara dalam industri nutraseutikal dan makanan fungsian.

















Tinggalkan Balasan