Syarikat Asing Sasar Tingkatkan Pelaburan di China

Persidangan Promosi Pelaburan Global Suzhou 2026 yang berlangsung di Suzhou, provinsi Jiangsu minggu lalu menarik penyertaan wakil lebih 700 syarikat dari lebih 30 negara dan wilayah.

Persidangan itu merupakan acara sampingan Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) edisi ke-32.

Difahamkan, syarikat dari Amerika Syarikat (AS) mencatat penyertaan paling tinggi dalam persidangan berkenaan. 

Tinjauan terbaharu oleh Dewan Perniagaan Amerika di China (AmCham China) menunjukkan 60 peratus syarikat yang terlibat merancang untuk terus meningkatkan pelaburan di negara Tembok Besar.

Presiden AmCham Shanghai, Eric Zheng berharap persidangan kali ini dapat membantu merungkai pelbagai cabaran yang dihadapi ekonomi global termasuk ekonomi digital, ekonomi hijau serta ketahanan rantaian bekalan. 

Beliau turut menyuarakan harapan agar mesyuarat MRT tahun ini dapat menarik lebih banyak syarikat asing melabur di Suzhou.

Wakil perniagaan antarabangsa S&S TECH dari Korea Selatan, Dominic Jeong pula berkata ini merupakan kali pertama syarikat itu membina kilang pengeluaran di luar negara.

Beliau menambah bahawa pihaknya akan membawa model industri maju yang dipelajari di China ke Korea Selatan, khususnya melibatkan kilang pintar berasaskan metodologi ‘lights-out’.