KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Lembaga Tabung Haji (TH) disaran memperkukuh komunikasi terbuka dan memperluas program jangkauan bagi menjelaskan langkah pembaharuan tadbir urus serta kedudukan kewangannya kepada pendeposit, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap institusi itu.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Pertahanan Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Mohd Kamarul Amree Mohd Sarkam berkata komunikasi secara konsisten menerusi platform digital amat penting bagi menunjukkan kesungguhan TH menangani kelemahan dan melaksanakan reformasi tadbir urus.
Beliau berkata meskipun proses reformasi memerlukan masa, pendekatan komunikasi digital perlu dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan sebahagian besar pendeposit terdiri daripada golongan milenial dan Gen Z yang aktif menggunakan media sosial.
“TH perlu menjelaskan keseriusan institusi itu dalam memperbaiki kesilapan dan melakukan reformasi tadbir urus. Pendekatan komunikasi digital mampu membantu mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya kepada Bernama.
Mohd Kamarul Amree berkata TH juga perlu memperkukuh naratif mengenai kualiti pengurusan haji Malaysia yang mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu terus terpelihara.
Beliau turut mencadangkan rombakan menyeluruh terhadap tadbir urus TH termasuk melantik pakar dan teknokrat berpengalaman dalam bidang pengurusan serta perniagaan, selain menamatkan amalan lantikan politik dalam barisan pengurusan tertinggi.
“Biarlah TH dikelola oleh individu bukan partisan yang mempunyai kepakaran supaya kepercayaan rakyat dapat dikembalikan secara kolektif tanpa cenderung kepada mana-mana ideologi politik.
“Di samping itu, pindaan Akta TH yang disyorkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH perlu dilakukan demi tadbir urus yang lebih baik, selain pengurusan dana kewangan TH diletakkan di bawah Menteri Kewangan,” katanya.
Beliau berkata laporan RCI itu perlu dijadikan peringatan kepada semua institusi mengenai kepentingan tadbir urus yang telus dan cekap bagi mencegah salah guna kuasa, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh integriti serta membanteras rasuah.
“Ia selari dengan dasar kerajaan untuk memperkasa integriti dalam kalangan institusi bagi mencegah dan menghapuskan salah laku serta rasuah, sekali gus memberi peringatan kepada semua institusi supaya cekap dalam tadbir urus dan tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata TH perlu menyampaikan mesej yang jelas bahawa syor penambahbaikan yang dikemukakan RCI telah dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Beliau berkata sekiranya perlu, TH juga wajar mengadakan program jangkauan seperti sesi dialog awam secara bersemuka di seluruh daerah bagi memberikan kefahaman lebih jelas kepada pendeposit, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka.
“TH perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa kedudukan kewangan TH adalah baik buat masa ini dan laporan RCI itu telah disiapkan pada 2022, bukannya pada tahun ini.
“Kekeliruan dan kecelaruan maklumat boleh memberi kesan kepada keyakinan pendeposit TH dan perkara ini merupakan keutamaan yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas merekodkan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan tadbir urus institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Selasa lepas, sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan laporan berkenaan dibentangkan dan dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.
















Tinggalkan Balasan