KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Lembaga Tabung Haji (TH) perlu memberi tumpuan kepada pulangan pelaburan yang munasabah dan mampan serta setimpal dengan tahap risiko yang boleh diterima, dan memberi keutamaan melindungi simpanan bakal jemaah, kata pakar ekonomi.
Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata TH tidak perlu menjadi dana yang paling agresif atau mengejar pulangan tertinggi, sebaliknya mengutamakan perlindungan modal dan kecairan sambil menjana pulangan secara berdisiplin.
“TH masih perlu mengambil risiko pelaburan kerana tanpa risiko, sukar untuk menjana pulangan yang dapat mengatasi inflasi dan menyokong operasi haji.
“Namun, risiko itu perlu dikawal melalui kepelbagaian portfolio, had pendedahan mengikut sektor dan aset, penilaian bebas serta pemantauan berterusan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan TH kekal stabil, berdaya tahan dan konsisten dalam menjana pulangan tanpa mengabaikan mandatnya melindungi simpanan pendeposit.
Sementara itu, Muhammad Irwan berkata TH juga perlu membezakan antara kerugian pasaran yang munasabah dengan kerugian akibat kecuaian, konflik kepentingan atau keputusan tanpa penelitian yang mencukupi.
Elak Kerugian Akibat Kelemahan Tadbir
“Kerugian pasaran mungkin berlaku walaupun proses pelaburan dilaksanakan dengan baik, namun kerugian akibat kelemahan tadbir urus sepatutnya boleh dielakkan.
“Antara tanda amaran utama yang tidak sepatutnya lagi dilihat termasuk pelaburan besar yang diluluskan tanpa penelitian wajar yang bebas, penilaian aset yang terlalu optimistik, kebergantungan berlebihan kepada cadangan pihak pengurusan serta ketiadaan pandangan profesional daripada pihak ketiga,” katanya.
Selain itu, katanya, TH juga perlu mengelakkan tumpuan dana yang terlalu besar dalam sesebuah syarikat atau sektor, pelaburan yang tidak selari dengan mandat institusi, konflik kepentingan yang tidak dielakkan serta pelaburan tanpa strategi keluar yang jelas.
“Satu lagi tanda amaran ialah apabila sasaran politik atau keinginan mengekalkan kadar agihan tertentu mula mempengaruhi tahap risiko yang diambil.
“Keputusan pelaburan tidak boleh dibuat semata-mata untuk menghasilkan keuntungan jangka pendek atau menutup kelemahan kewangan,” katanya.
Mengenai strategi pengagihan aset, Muhammad Irwan berkata ia perlu dinilai secara berkala kerana keadaan pasaran, kadar faedah, inflasi dan keperluan kewangan TH sentiasa berubah-ubah, namun penilaian itu tidak bermakna TH perlu mengubah portfolio setiap kali pasaran turun naik.
Nilai Risiko Sebenar
“Dari sudut teori portfolio, TH perlu mengimbangi aset yang stabil dan cair dengan aset pertumbuhan yang menawarkan pulangan lebih tinggi tetapi mempunyai risiko lebih besar.
“Kepelbagaian juga perlu dinilai berdasarkan risiko sebenar. Memiliki banyak aset tidak semestinya bermaksud portfolio sudah terpelbagai jika semuanya terdedah kepada sektor atau faktor ekonomi yang sama,” katanya.
Beliau berkata setiap pelaburan besar perlu melalui penelitian wajar yang merangkumi penilaian kewangan, perundangan, operasi, tadbir urus dan reputasi, manakala andaian mengenai pulangan, harga aset dan prospek pasaran perlu diuji melalui beberapa senario termasuk kemungkinan keadaan menjadi lebih buruk daripada jangkaan.
“Pemilihan aset juga perlu selari dengan mandat, toleransi risiko, keperluan kecairan dan tempoh liabiliti TH, manakala prestasi pelaburan perlu dipantau berbanding sasaran dan tahap risiko asal.
“Jika keadaan berubah, mesti ada pencetus yang jelas untuk membuat semakan, mengecilkan pendedahan atau keluar daripada pelaburan,” katanya.
Muhammad Irwan berkata TH juga perlu memberi perhatian kepada pengurusan aset-liabiliti dengan memastikan tempoh matang, kecairan dan aliran tunai pelaburan dipadankan dengan pengeluaran pendeposit, agihan keuntungan serta keperluan operasi haji.
“Portfolio yang kelihatan menguntungkan di atas kertas masih boleh menghadapi masalah jika aset sukar dijual ketika tunai diperlukan.
“Matlamat pengagihan aset bukan untuk memaksimumkan pulangan dalam satu tahun, tetapi untuk memastikan TH mampu menghadapi kejutan pasaran dan pada masa yang sama dapat melindungi modal dan menghasilkan pulangan yang konsisten dalam jangka panjang,” katanya.

















Tinggalkan Balasan