UDA Kenal Pasti Lebih Empat Aset Untuk Diberi Nafas Baharu – Sim

KUALA LUMPUR, 24 Sept — UDA Holdings Bhd (UDA) telah mengenal pasti empat hingga lima asetnya di seluruh negara untuk diberi nafas baharu menerusi usaha pembaharuan dan pengaktifan semula aset lama syarikat itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha UDA untuk meneroka nilai asetnya termasuk tanah dan bangunan yang telah lama dimiliki supaya tidak terbiar begitu sahaja.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan aset lama tidak menjadi tired asset yang terus menanggung kos penyelenggaraan tetapi kurang dimanfaatkan oleh usahawan dan pengunjung.

“Usahawan pun susah nak guna, orang tak pergi melawat dan sebagainya tetapi kita masih tanggung penyelenggaraan,” katanya dalam ucapan ketika melawat Chinatown 1974, yang sebelum ini dikenali sebagai Bangunan Tunas Utama, di sini hari ini.

Sim berkata Chinatown 1974 adalah antara contoh usaha UDA mengaktifkan semula aset lamanya apabila bangunan berusia kira-kira 43 tahun itu, yang tidak dihuni selama lima tahun, kini menempatkan lapan premis perniagaan.

Beliau berkata usaha itu bukan sahaja mengaktifkan semula bangunan berkenaan malah memberikan manfaat kepada kawasan sekitarnya kerana ia berupaya menarik pelancong, menaikkan nilai aset, menyediakan peluang pekerjaan dan membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn Bhd Datuk Seri Saiful Nizam Mohd Yusoff, yang menguruskan Chinatown 1974, berkata aset UDA di Jalan Petaling yang mempunyai keluasan lantai kasar kira-kira 40,000 kaki persegi telah beroperasi sejak tahun 1983.

Beliau berkata peluang yang diberikan UDA kepada Menara Rezeki untuk mengurus dan mentransformasikan bangunan berkenaan adalah amanah penting untuk menghidupkan semula aset yang mempunyai nilai sejarah serta identiti.

Saiful Nizam berkata Chinatown 1974 bukan sekadar menempatkan hotel, restoran atau ruang komersial sebaliknya ia dibangunkan sebagai destinasi yang menggabungkan sejarah, budaya, makanan, seni serta hospitaliti dalam satu masa.

Chinatown 1974 diperkenal menerusi konsep “Moving Through Time” yang mengambil inspirasi daripada karakter dan suasana Chinatown Kuala Lumpur pada era 1970-an sebelum diterjemahkan dalam bentuk pengalaman lebih moden.

Turut diterapkan ialah elemen seni, tekstil, kehidupan masyarakat, suasana kopitiam dan nostalgia zaman dahulu.