KUALA LUMPUR, 11 Ogos — CIMB Securities Sdn Bhd menaikkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2026 dan 2027, masing-masing sebanyak RM50 satu tan kepada RM4,450 satu tan dan RM4,550 satu tan berikutan risiko bekalan yang meningkat.
Menurut CIMB Securities dalam nota penyelidikan hari ini, kenaikan harga MSM akan disokong oleh risiko geopolitik yang meningkat, fenomena El Nino dan permintaan terhadap biodiesel yang tinggi di Indonesia.
“Eksport minyak bunga matahari dari Rusia dan Ukraine jatuh mendadak pada akhir Julai 2026 dan dijangka kekal amat rendah pada Ogos 2026 selepas serangan ke atas pelabuhan, infrastruktur dan kapal komersial mendorong beberapa pemain utama untuk menggantung operasi dan tawaran eksport.
“Ini dapat menyokong permintaan terhadap minyak sawit sebagai minyak pengganti menjelang musim perayaan di India dari September hingga November,” katanya.
CIMB Securities memaklumkan fenomena El Nino boleh mengurangkan hasil dan pengeluaran sawit di Asia Tenggara, meningkatkan risiko terhadap bekalan mulai 2027 dan seterusnya.
Sementara itu, mandat biodiesel B50 Indonesia dijangka menggunakan 16.7 juta kiloliter hingga 18.0 juta kiloliter biodiesel sawit setiap tahun, memberikan sokongan tambahan kepada permintaan minyak sawit.
“Bagaimanapun, inventori minyak sawit Malaysia yang agak tinggi dan premium harga MSM berbanding minyak sayuran lain boleh mengehadkan kenaikan harga untuk jangka pendek.
“Oleh itu, kami mengunjurkan inventori meningkat 2.1 peratus bulan ke bulan kepada 2.68 juta tan pada Ogos 2026, apabila pengeluaran yang lebih tinggi (+3 peratus bulan ke bulan) lebih daripada mengimbangi peningkatan eksport (+6 peratus bulan ke bulan),” katanya.
Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor perladangan, dengan IOI Corp, Kuala Lumpur Kepong dan Hap Seng Plantations sebagai pilihan utama.
















Tinggalkan Balasan