Aktiviti Pertukaran Kebudayaan Asia-Pasifik “Berkongsi Visi, Meraikan Kepelbagaian” Diadakan di Shenzhen

Majlis pelancaran aktiviti pertukaran kebudayaan Asia-Pasifik bertemakan “Berkongsi Visi, Meraikan Kepelbagaian” diadakan di Shenzhen, Provinsi Guangdong China pada Ahad.

Acara itu dianjurkan bersama oleh Kumpulan Media China (CMG) dan Kerajaan Provinsi Guangdong menjelang berlangsungnya Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-33.

Lebih 150 tetamu dari dalam dan luar negara termasuk wakil dari kalangan politik, perniagaan dan akademik dari ekonomi anggota APEC menyertai aktiviti kali ini dan menyaksikan pelancaran pelbagai hasil kerjasama.

Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81, Khalilur Rahman dalam ucapan videonya berkata tema acara kali ini membawa mesej penting bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi penghalang, sebaliknya mampu memperkaya pemahaman, mencetuskan kreativiti serta mendorong kemajuan bersama.

Presiden CMG, Shen Haixiong ketika berucap pada majlis itu menegaskan komitmen badan media kebangsaan ini untuk terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak menerusi dialog yang ikhlas dan tindakan pragmatik.

Beliau berkata usaha itu bertujuan menyuntik momentum berterusan dalam aspek kebudayaan bagi membina komuniti berkongsi nasib Asia-Pasifik serta mempromosikan kemakmuran bersama.

Pada masa sama, pameran khas “Mengenali China Melalui Warisan Budaya Tidak Ketaranya” turut dilancarkan.