PM Li Hadir Sidang Kemuncak China-ASEAN di Filipina

Perdana Menteri China, Li Qiang menghadiri Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-29 di Manila, Filipina pada Isnin. 

Li menyatakan bahawa tahun ini menandakan ulang tahun kelima penubuhan perkongsian strategik komprehensif China–ASEAN, dan sepanjang tempoh berkenaan menyaksikan peningkatan arus unilateralisme dan perlindungan perdagangan, manakala konflik geopolitik pula berlaku secara berterusan. 

Dalam konteks ini, kerjasama China-ASEAN terus berkembang meskipun berdepan cabaran, serta melakarkan pencapaian cemerlang, dengan mekanisme kerjasama diperkukuh manakala kesalinghubungan dipertingkat, kata Li.

Li berkata bahawa kedua-dua pihak harus meneruskan tradisi persahabatan dan saling membantu, mempertahankan jalan keterbukaan dan kerjasama saling menguntungkan, dan mengikuti trend inovasi dan pembangunan.

Pengalaman tersebut adalah aset bernilai dan harus dihargai dan dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak untuk jangka masa panjang, kata Li.

Beliau mengatakan bahawa lima tahun lalu, Presiden China Xi Jinping mengemukakan cadangan agar China dan ASEAN harus berganding bahu untuk membina rumah bersama yang aman, selamat, makmur, indah dan bersahabat. 

Oleh itu, menurut Li, China dan negara-negara ASEAN harus menjaga dan membangunkan rumah bersama, dan menyumbangkan lebih banyak kestabilan dan kepastian kepada pembangunan dan kemakmuran perkampungan global.

Beliau menyeru kedua-dua pihak agar mengukuhkan jaminan kedamaian dan keselamatan, menguruskan pertikaian melalui dialog dan rundingan, serta bersama-sama menolak campur tangan kuasa luar dan memelihara keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau menegaskan bahawa China berharap dapat memuktamadkan Kod Tata Laku di Laut China Selatan (CoC) secepat mungkin, agar memberikan jaminan institusi yang lebih kukuh kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Laut China Selatan.

Sementara itu, Li mencadangkan China dan negara-negara ASEAN agar mempromosikan pembangunan dan kemakmuran serantau, mengambil peluang penguatkuasaan Protokol Kenaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 untuk memperkasakan kerjasama dua hala dalam rantaian perindustrian dan rantaian pembekalan, serta mempercepat kesalinghubungan infrastruktur dan mekanisme, piawaian dan peraturan.

Li juga mengesyorkan China dan negara-negara ASEAN untuk berusaha menambah baik kesejahteraan rakyat, di samping menzahirkan kesediaan China untuk meningkatkan kerjasama dengan ASEAN dalam pengurangan kemiskinan, pencegahan bencana, keterjaminan makanan, kesihatan golongan wanita dan kanak-kanak, selain mempromosikan pembangunan mampan rantau ini.

Para pemimpin negara-negara anggota ASEAN yang hadir turut memberikan penilaian positif terhadap pencapaian yang memberangsangkan sepanjang tempoh lima tahun penubuhan perkongsian strategik komprehensif China–ASEAN.

Mereka juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan China bagi memuktamadkan CoC secepat mungkin demi bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan serantau, serta membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN.

Sidang tersebut turut mengumumkan bahawa Protokol Kenaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 akan berkuat kuasa pada 1 Disember 2026, manakala tahun 2027 ditetapkan sebagai “Tahun Kerjasama Kecerdasan Buatan China-ASEAN”.