Banjir Bangkok: Keadaan Semakin Pulih, Hujan Mereda

BANGKOK, 27 Sept — Keadaan banjir di Bangkok menunjukkan tanda semakin pulih dengan hujan kian reda selepas palung monsun dan sistem tekanan rendah beralih dari ibu negara Thailand itu.

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata hujan telah berkurangan berbanding dua hingga tiga hari lepas dengan kebanyakan kawasan kini mengalami keadaan ringan hingga sederhana.

Beliau berkata sistem tekanan rendah telah bergerak ke arah barat Thailand dan Myanmar manakala hujan lebat telah beralih ke bahagian barat negara itu.

“Keadaan taburan hujan di Bangkok dan wilayah timur menunjukkan trend reda, menjadi kurang teruk berbanding dua hingga tiga hari lepas,” katanya selepas melawat Pusat Pencegahan Banjir Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) pada Ahad.

Chadchart berkata terusan berhampiran Sungai Chao Phraya mula surut, walaupun beberapa terusan utama termasuk Khlong Prem Prachakon, Khlong Lat Phrao, Khlong Saen Saep dan Khlong Prawet Buri Rom masih pada tahap kritikal.

Beliau berkata operasi pengepaman berterusan sedang dijalankan memandangkan air terus mengalir ke dalam terusan dari kawasan sekitar.

Chadchart menasihati penduduk supaya memeriksa keadaan jalan sebelum membuat perjalanan manakala pasukan respons telah dikerahkan untuk membantu penduduk yang terkandas akibat banjir di Lat Krabang, Nong Chok dan Min Buri.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap Kerajaan Ploythalay Laksamaesaengchan berkata kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan barangan pengguna dan keperluan harian mencukupi sambil menggesa orang ramai supaya tidak panik.

Beliau berkata kerajaan sedang memantau dengan teliti situasi banjir dan telah mengarahkan agensi berkaitan supaya menyelaraskan usaha membantu masyarakat terjejas.

Ploythalay berkata peniaga dan pengusaha dilarang menaikkan harga secara tidak adil, menyorok barang atau terlibat dalam amalan yang mengambil kesempatan ke atas pengguna.di bawah Akta Harga Barang dan Perkhidmatan 1999.

“Pemeriksaan oleh Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan, mengesahkan bekalan barangan pengguna kekal mencukupi, tanpa faktor asas yang menjamin kenaikan harga,” katanya.

Beliau berkata jabatan itu menyelaras dengan pengilang, pemborong, peruncit dan kedai serbaneka untuk memantau inventori, meningkatkan stok semula dan mempercepat pengedaran ke kawasan dengan permintaan tinggi, menyatakan bahawa banjir telah menjejaskan pengangkutan dan akses ke beberapa cawangan.

Pelanggar undang-undang bakal berdepan tindakan termasuk menaikkan harga secara tidak munasabah yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, denda sehingga 140,000 baht, atau kedua-duanya, katanya.